t>

Breaking News

Selepas Geely Beli Saham, 12,000 Pekerja Proton Bimbang Dibuang Kerja.

Kakitangan Proton Holdings kini tertanya-tanya sama ada penjualan 49.9% kepentingan syarikat itu kepada sebuah syarikat China hanya memberi keuntungan sebelah pihak. 


Proton mempunyai 12,000 pekerja, di samping 50,000 yang bekerja dengan syarikat vendor yang membekalkan peralatan kereta.

Zamrul Fauzi Arifin, 36, yang bekerja di bahagian pengeluaran kereta di kilang Proton di Tanjung Malim, berkata perjanjian itu masih belum jelas dari segi nasib pekerja. 

“Kita takut kelebihan itu berkurangan atau separuh (dipotong),” katanya. 

Rabu lalu, DRB-Hicom mengumumkan menjual 49.9% sahamnya dalam Proton kepada Kumpulan Geely Holding, yang juga mengambil alih Volvo sebelum ini. 

Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat otomobil pertama negara, bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan. 

Pada 2001, ia menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta. 

Antara kebimbangan pekerja Proton susulan penglibatan Geely ialah kemungkinan mereka dihentikan untuk mengurangkan kos, di samping kemasukan staf Geely. 

Sebelum ini, penganalisis memberi amaran pekerja Proton perlu bersedia berdepan penyingkiran.

Sumber : Free Malaysia Today