t>

Breaking News

Walaupun Sah Bayar Zakat Sendiri Tetapi Tetap Berdosa Kerana Langgar Arahan Pemerintah - MAIWP.

Oleh : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
HUKUM BAYAR ZAKAT SENDIRI TANPA MELALUI PEMERINTAH?
Baru-baru ini tular semula isu ini. Ia dimainkan oleh satu page FB yang sedia maklum bermotif politik. Inilah yang perlu diberi perhatian oleh netizen. Jangan mudah terpengaruh. Kerana agenda politik, agensi Islam difitnah dan dikecam. Zakat yang telah banyak membantu asnaf seolah tidak kelihatan lagi akibat daripada agenda politik pihak tertentu.
Gambar - MAIWP
Pertama sekali, ingin diberi penjelasan bahawa harus difahami Pemerintah di sini tidak sama sekali bermaksud Kerajaan Persekutuan.
Dalam urusan agama Islam termasuk hal ehwal zakat, ia sepenuhnya diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ia jelas dinyatakan di dalam Perlembagaan Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak boleh sama sekali mencampuri urusan berkenaan.
Poster yang dicipta ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memburukkan kerajaan Persekutuan tanpa fakta yang benar.
INI PENJELASANNYA.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan hal ini dan mengatakan bahawa meskipun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.
Haram di sini merujuk kepada tindakan melanggar peraturan yang diletakkan oleh pemerintah.
Di Malaysia, pemerintah telah mengarahkan institusi-institusi yang bertanggungjawab untuk menguruskan zakat bagi sesebuah negara, maka dalam konteks kita di Malaysia, rakyat perlulah mematuhi perintah tersebut dengan membayar zakat kepada institusi yang telah ditetapkan oleh pemerintah.
Apakah dalilnya wajib bayar kepada institusi mengurus zakat sepertimana diarah oleh pemerintah?
Mufti Wilayah Persekutuan panjang lebar telah menghuraikan dalilnya mengenai perkara ini. Antara dalil yang dipetik:
Syeikh Ibn ‘Uthaymeen Rahimahullah ketika mensyarahkan hadith berkaitan ini yang diriwayatkan dalam Riwayat al-Bukhari (1395) dan Muslim (19) mengatakan ianya menjadi dalil ke atas wali al-Amr (pemerintah) untuk mengambil zakat dari mereka yang memenuhi syarat dan menguruskannya kepada asnaf-asnaf yang layak. Maka jika itu dilakukan, maka ianya telah terlepas dari tanggungjawab. Lihat Syarh Riyadh al-Soliheen li Syeikh Ibn ‘Uthaymeen(27/20).
Boleh rujuk rencana penuh S.S Mufti Wilayah Persekutuan :http://www.muftiwp.gov.my/…/636-irsyad-al-fatwa-ke-95-hukum….
Secara logiknya, sekiranya difikir, ada asas yang kuat kenapa zakat perlu dibayar kepada institusi sepertimana diarahkan oleh pemerintah berbanding dibayar terus oleh individu kepada asnaf.
1. Pengagihan lebih bersifat menyeluruh berbanding dengan pengagihan secara peribadi.
2.Pengagihan lebih tertumpu kepada yang benar-benar berhak dan berhajat dan bukan hanya yang layak sahaja.
3.Pengagihan tidak tertumpu kepada seseorang atau sekumpulan yang kecil, sedangkan yang lain tidak dapat apa-apa.
4. Kadang-kala berlaku musibah kepada yang ingin mengagih dan akhirnya tidak kesampaian dan lebih parah lagi harta tersebut dipusakakan sedangkan ianya milik Allah untuk asnaf yang ditetapkan.
-------------------------------------------
Kami menyeru agar umat Islam tidak lagi mudah terpengaruh dengan usaha memburukkan institusi Islam khususnya agensi zakat semata-mata berteraskan agenda politik.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
16 Mei 2017