Ya, SKMM Boleh Ambil Tindakan Pada Admin WhatsApp Tetapi Ada Syarat-Syaratnya..

SIARAN AKHBAR : Isu Penyebaran Maklumat atau Berita Palsu Melalui Aplikasi Pesanan
MCMC ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa perbualan dalam mana-mana kumpulan aplikasi pesanan seperti Whatsapp, Wechat, Viber, Telegram dan sebagainya adalah bersifat persendirian. Siasatan hanya akan dijalankan jika terdapat aduan terhadap kandungan yang disebarkan dalam kumpulan tersebut. Justeru, orang ramai, sama ada pentadbir atau ahli kumpulan, perlu berwaspada dalam menyebarkan maklumat dalam kumpulan masing-masing supaya tidak terjadi kes penyebaran maklumat palsu.
Penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk seksyen 233 AKM 1998. Adalah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi seperti Whatsapp, untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Perlu ditekankan bahawa mana-mana siasatan tidak akan membezakan di antara pentadbir dan ahli kumpulan. Jika pentadbir atau mana-mana ahli kumpulan didapati menyebarkan maklumat palsu, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka. Berdasarkan fakta, bukti dan perlakuan, seorang pentadbir mungkin dipertanggungjawabkan dalam keadaan seperti berikut;
a) Apabila pentadbir sendiri membuat komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 233 AKM 1998;
b) Apabila pentadbir, walau pun dengan sendirinya tidak membuat komen tersebut, meminta komen sedemikian daripada yang lain;
c) Apabila pentadbir membantu, melalui hasutan, mana-mana orang lain dalam kumpulan untuk membuat komen tersebut;
d) Apabila pentadbir menghalang siasatan terhadap komen sedemikian oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.
Dalam perkara ini, pihak MCMC akan mempertimbangkan keperluan mengadakan garis panduan tentang penggunaan aplikasi pesanan dan seumpamanya. Pada masa yang sama, orang ramai digesa untuk sentiasa berhemah dalam penggunaan media sosial demi perlindungan mereka sendiri.

Share this :

Previous
Next Post »