t>

Breaking News

100 Buah Kamera AES Akan Dipasang Mulai Tahun Depan - Timbalan Menteri.

Kira-kira 100 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, tahun depan. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata AES yang akan dipasang di lebuh raya dan jalan persekutuan itu dapat membantu pengguna jalan raya mematuhi peraturan memandangkan ia merupakan sistem penguatkuasaan sepanjang masa selama 24 jam. 

Timbalan Menteri Pengangutan - Ab Aziz Kaprawi.
AES ini akan ditambah kerana kita (Malaysia) mempunyai matlamat untuk mengurangkan 50% kadar kemalangan menjelang tahun 2020 seperti yang dipersetujui di peringkat dunia,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Kampung Parit Jelutong, Parit Raja pada semalam.
 

Anggota Parlimen Sri Gading itu berkata ketika ini kira-kira 50 AES sudah dipasang di seluruh negara. Beliau berkata saranan mengurangkan 50% kadar kemalangan menjelang tahun 2020 merupakan satu cabaran kepada negara kerana Malaysia merupakan satu daripada negara yang mencatatkan kadar kemalangan tinggi. 

Kita (kerajaan) juga tidak mahu negara kerugian modal insan akibat kemalangan jadi, penguatkuasaan secara automasi (AES) merupakan kaedah terbaik memandangkan sistem ini tidak ada pilih kasih kerana kamera tidak mengenali orang dan akan rakam semua kenderaan yang lalu,” katanya. 

Ab Aziz dalam pada itu turut menasihati para pengguna jalan raya yang akan pulang semula ke kota selepas sambutan hari raya supaya mengambil iktibar dengan memandu secara berhemah bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

Beliau yakin kemalangan dapat dielakkan sekiranya para pengguna jalan raya memandu dengan cermat dan mengikut peraturan ditetapkan. - Bernama.