t>

Breaking News

Cadangan Strategik Kepada Petani Harumanis.

Oleh : Saiful Nang
CADANGAN STRATEGIK KEPADA PETANI HARUMANIS
Hari ini, isu trending paling sensasi sudah bukan cerita tentang Izara Aisyah dan buah mangga yang dibangga beliau tetapi buah mangga Harumanis kebanggaan Negeri Perlis. Saya lega, kerana cerita mangga ini lebih berfaedah dan tidak menguruskan puasa orang (tolong jangan google "mangga izara aisyah"). OK, yang saya maksudkan ini ialah mangga sebenar dari Perlis.
Cerita viral hari ini ialah bila peladang membakar mangga Harumanis disebabkan permintaan merudum dan buah sampai busuk di atas pokok. Jika ada orang nak pun harganya tak mahal seperti dahulu. Dulu senang-senang laku RM50-60 sekilo tapi hari ini RM10-15 sahaja harganya. Itupun ditambah dengan permintaan yang rendah.
Gambar - Google
Ada pula yang kata, peladang itu sorang sahaja yang bakar mangga tu kerana mangga dia tak laku kerana sebelum ini dia terkenal dengan menjual mangga-mangga muda yang merosakkan kepercayaan pasaran kepada dia.
Kita tak tahu mana betul mana salah tapi elok ambil pelajaran sahaja.
Saya saran kepada peladang, jangan terlalu gopoh membuat satu tindakan yang merugikan diri sendiri. Dunia dan niaga ini berubah dari masa ke masa. Hanya dinosaur berspesis seperti BUAYA yang mampu survive dari zaman prasejarah hingga hari ini berbanding dinasour lain yang gagah-gagah perkasa, lebih besar, lebih tinggi, mantap dan bergigi lagi runcing tapi semuanya tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan perubahan iklim. Buaya ni lain, apa sahaja lalu dia boleh bedal tanpa memikirkan alergik ataupun citarasa.
Pada ketika Harumanis sangat popular sebelum ini dan ketika itu saya dah fikir, kejuruteraan genetik tumbuhan ini bukanlah susah sangat nak copy apa yang ada pada mangga ini. Apapun, ia semua bergantung faktor masa dan setiap legenda pasti akan mati juga. Jika dulu Harumanis satu legenda besar negeri Perlis, perlu kita pastikan dia bertahan. Jika cerita itu tidak benar, kita perlu juga bersedia, satu hari nanti ada lagi mangga legenda lain yang lebih baik dari yang ada hari ini. 20 tahun dulu orang cuma tahu ada durian tembaga sahaja, tak pernah fikir sekarang ada D24, 101, Mousan King dan banyak lagi.
Gambar  - Google
Kita orang Malaysia sentiasa memikirkan untuk menjadi negara pengeluar tetapi sebaiknya, Harumanis ini diuruskan menjadi produk akhir yang lain. Tahukah anda, Arab Saudi sahaja mengimport sebanyak 57,857.70 tan metrik buah-buahan tropika dan majoritinya ialah MANGGA. Saudi sendiri mengimport dari 14 buah negara bagi mencukupkan keperluan mereka dan tidak ada dalam senaraipun dari Malaysia (Perlis). Sedangkan air mangga ialah antara air paling digemari di negara Saudi.
Sebagai usahawan, inilah masanya saya akan meraih mangga-mangga lebihan ini sebelum dia membusuk di atas pokok, eloklah diproses terus menjadi produk sekunder seperti jus mangga. Hari ini, agak kelakar juga bila jus mangga yang sedap-sedap dan terasa likat dan pekat kita import dari negara Arab. Sama macam bauksit yang kita hantar jual ke China bertongkang-tongkang dan kita jual ikut harga per tan, mereka proses semula dan jual kepada kita dalam bentuk aluminium yang dijual kira ikut kilo.
Usahawan perlu kreatif. Jika tiada usahawan yang kreatif, kerajaan negeri boleh kelolakan satu usahasama untuk memproses Harumanis untuk dijadikan air mangga original dari Perlis. Setidak-tidaknya, jauh lebih baik dari membiarkan buah mangga itu masak di atas pokok tidak dipetik sampai busuk kerana harga rendah permintaan juga rendah.
Saya bukan bercerita tentang Harumanis sahaja. Sebenarnya saya mahu semua sedar bahawa kita tak perlu hidup menyalahkan keadaan semata-mata. Pada hari ini kita lihat senario orang Melayu sendiri contohnya, jika mereka berjual nasi lemak di tepi jalan kemudian menjadi sangat laku. 
Seterusnya, pasti ada kedai nasi lemak lain akan dibuka bersebelahannya juga. Maka berlaku persaingan dan kadangkala sampai dengki mendengki. Tapi kalau dah ada sampai 10 gerai nasi lemak di jalan yang sama, dah tak tahu nak dengki mana satu akhirnya kita mengeluh menyalahkan keadaan. 
Cuba jadi orang bijak untuk memanipulasi keadaan. Jika dulu kita berjual nasi lemak, tapi bila dah ramai orang jual nasi lemak kita pula jadi pemborong nasi lemak. Kerja kita cuma borong nasi lemak yang satu jalan tu buat untuk pasaran delivery office ke office CONTOHNYA. Orang pun suka, kita pun untung dari semua menyantau antara satu sama lain akhirnya semua tutup kedai kena santau.
Abang Aji dulupun masa buat fotografi orang kahwin, masa tu ramai otai kata alergik shooting kahwin ni tak standard low class. Tapi bila Abg Aji sampai shoot kat Paris, London, Chicago bagai, yang kata alergik tu pun mai sama buat ambik gambar orang kahwin. Makin lama makin ramai pulak jadi jurugambar kahwin. Masa tu, tak rugipun pasal branding dah siap awal-awal dan customer dah mula roll based on recommendation dan bukan open advertisement lagi. Masa tu, Abg Aji buat kelas banyak-banyak untuk bantu orang lain jadi jurugambar kahwin pulak.
Kita kena ingat, kita duduk satu stadium tengok konsert ke, dalam dewan hadir perhimpunan agong UMNO ke, Muktamar PAS kebangsaan ke atau perhimpunan BERSIH yang padat dan ramai orang, tapi semua orang cukup oksigen dalam udara. Nak gaduh-gaduh apa.
Kita kena ingat, negara antara yang terkaya di dunia seperti Singapura tidak memiliki apa-apa hasil bumi pun. Tetapi mereka berusaha untuk meletakkan nilai pada produk negara lain kemudian diexport semula menjadi produk sekunder yang lebih tinggi nilainya.
Jika saya MB Perlis, saya akan pergiatkan usaha untuk mempelbagaikan output dari mangga Harumanis buah ini sentiasa mendapat permintaan dalam pasaran tempatan mahupun luar negara.
Apa pandangan anda?
SAIFUL NANG
Anak Pekebun Kelapa Sawit Felda Tementi.