t>

Breaking News

Ini Surat Terbuka Dari Seorang Lelaki Lembut Buat Ustazah..

Oleh : Adzren Adnan
SURAT TERBUKA DARI SEORANG LELAKI LEMBUT BUAT USTAZAH YANG MINDANYA TERTUTUP
Bismillah…
Assalamualaikum W.B.T… ya Ustazah
Sebelum itu, Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin saya ucapkan kepada yang berbahagia Ustazah. Semoga Ustazah berada dalam keadaan yang ceria, sihat dan sejahtera hendaknya. Coretan penuh kewarasan disulami dengan ketenangan berbunga kiasan ini adalah luahan seorang insan lembut yang Ustazah rasa telah tersasar jauh dari fitrah kejadian.
Gambar - Adzren
Ya, saya tidak segan silu mengaku saya lembut. Ia tidak salah. Tidak juga berdosa. Betulkan saya kalau saya salah. Pemahaman utama Ustazah dalam menilai fitrah dari mula hingga perkataan terakhir artikel ini memang gagal dan boleh disangkal mudah.
Ingat, isu berbeza-beza, apa yang akan saya huraikan hanya berdasarkan artikel ustazah semata-mata. Sekiranya ada isu lain, tapi tidak berkaitan artikel, jangan memandai-mandai pukul rata dan samakan semua. Saya cuba bandingkan epal sama epal, mengapa tidak suka makan epal kerana epal tidak sedap dan bukan epal sama limau atau mengapa tidak suka makan epal kerana pisang lebih enak. Ini perkara penting yang perlu difahami Ustazah.
Kedua, lelaki lembut ini sangat subjektif. Ia adalah fitrah semulajadi yang tidak boleh dikawal oleh diri sendiri. Major lembut dan minor lembut seseorang kanak-kanak, remaja atau dewasa lelaki bergantung kepada tahap kerangsangan dan dorongan semasa kecil. Banyak isu, ibu bapa yang mahukan anak perempuan tapi apabila lahir adalah lelaki, ibu yang pakaikan baju perempuan ketika kecil dan macam-macam lagi. itu pemahaman kedua.
Ketiga, Ustazah perlu faham lembut tak semestinya gay, gay tak semestinya lembut, itu contoh paling mudah. Lembut itu lelaki. Bukan transgender.
Baik, kita terus kepada cara-cara yang Ustazah beri untuk mengembalikan fitrah lelaki lembut ini dan sepanjang saya bidas, saya akan selitkan pengalaman saya sendiri. Tak adil pengalaman sendiri? Saya kira adil, Ustazah lagi tak adil, sudahlah tak mengalami, pandai-pandai keluar cara reverse psychology yang menghukum tidak berjustifikasi.
Saya adalah bekas pelajar lelaki lembut di sebuah sekolah yang agak terkenal di Melaka. Ini bidasannya.
1. BAWA KE KEM JATI DIRI
Sudahlah Ustazah tidak memberi statistik daripada 100 orang berapa puluh orang yang ustazah berjaya “jantankan”, menganggap kem ini mampu mengubah fitrah pula. Kem bina jati diri ini bukan setakat tidak mengajar menukar fitrah, ia lebih kepada kem untuk bersosial dalam ketegasan. Ya, jurulatihnya memang ganas dan tegas. Saya pernah pergi maka saya berani cerita terperinci. Dengan mengumpulkan 60 orang pelajar lelaki lembut dalam sebuah lokasi yang sama, anda rasa fitrah itu akan berubah atau semakin rancak dan bertambah? Anda jawab. Itu satu. Kedua, 60 orang pelajar lelaki lembut, bersama dengan jurulatih lelaki tulen tak lembut, anda rasa apa yang akan berlaku? Kita tolak tepi cerita harassment sebab saya kira tak elok nak cerita (saya tak tipu memang jadi), kita cerita tentang penderaan emosi dihina dihamun dicerca dihadapan orang ramai. Tapi tatkala malam menjelma, jurulatih ini berubah muka (harassment). Cerita sisi gelap ini tak ramai orang tahu. Akhirnya, kem jati diri ini sebenarnya adalah nafsu benci Ustazah semata sebab menyampah lihat si lembut ini berjalan di hapadannya di dalam bilik guru, betul tak? Jangan nafikan. Mana lebih mengundang bala, si lembut yang sentiasa berbakat dan berkebolehan naik turun pentas sehingga haus tangga pentas setiap minggu menerima hadiah kokurikulum dan akademik dalam perhimpunan atau pelajar yang ponteng, nakal, merokok dan sentiasa bermasalah? Mengapa tak ke kem bina jati diri juga jadi kaedah? Tak sangka, perbandingan yang cukup mudah.
2. BUAT PROGRAM LASAK
Wow. Program lasak yang dibuat khas untuk mereka. Sekali lagi, dah berapa orang pelajar lelaki lembut yang dah berjaya Ustazah pulihkan? Keberkesanan program lasak ini mampu menulenkan lelaki lembut? Saya meragui. Sebenarnya segala yang Ustazah keluarkan sangat subjektik dan tak boleh diukur. Lembut yang bagaimana? Tulen yang bagaimana? Program lasak yang bagaimana? Saya pernah sertai kem pengakap waktu sekolah dan banyak aktiviti lasak ketika itu, kawan-kawan saya juga, tidak pun jadi tulen seperti apa yang Ustazah impikan. Tapi kami jadi lebih berpengalaman, tambah ilmu. Saya pernah sertai rombongan masuk gua, mendaki bukit, jungle trekking dan banyak lagi. sebenarnya apa yang cuba Ustazah buktikan?
Artikel Yang Timbulkan Polemik
3. BOIKOT PELAJAR LELAKI LEMBUT
Baru saya tahu, pelajar lembut ini lebih bermasalah berbanding pelajar samseng. Sehingga mereka perlu diboikot. Sungguh, baru saya tahu. Bukan saya kurang gemar kaedah ini, malah saya rasa kalau saya sebagai lelaki lembut ini Ustazah rasa jijik, cetusan idea dari Ustazah ini lagi membuatkan seperti Ustazah tiada maruah. Bagaimana seorang Ustazah dengan didikan agama Islam boleh mengeluarkan idea yang sebegitu rupa? Boikot, pulaukan, kutuk sehingga mereka ini rasa terganggu emosi dan akhirnya datang ke bilik kaunseling. Tarik tali? Akhirnya berubah fitrah? Begitu mudah sekali prosesnya ya? Kalau sampai terganggu emosi terus bunuh diri? Atau rosak cacat kekal di bahagian otak? Ustazah nak mengaku? Memang mati hidup semula pun takkan mengaku. Paling tidak ayat Ustazah “Itulah bala jadi lembut, Tuhan balas”. Saya pernah mengalami. Dicerca dan dihina, kami diejek dihadapan semua pelajar. Apa yang berubah? Rasa hormat kami pada guru yang berubah. Dari suka bertukar benci. Dari hormat terus rasa nak maki.
4. HARGAI PELAJAR
Hujah ini sama sahaja seperti no 2, Nampak sangat ustazah tidak ada idea. Oh tajuknya hargai pelajar, tadi nak boikot ni nak hargai pula, mana satu ya?
5. HADIRI SESI KAUNSELING INDIVIDU & BERKELOMPOK
Mari saya cerita pengalaman saya. Isu lelaki lembut ini isu dari dulu sebenarnya. Saya pernah dibuli secara emosi semasa di tingkatan 1. Bekas pensel saya sebesar guni penuh dengan alat tulis, dicuri, diejek dicemuh dicerca. Perkara ini berlaku selepas saya pindah dari sebuah sekolah berasrama penuh ke sekolah di Melaka ini. Apa yang saya buat? Saya berjumpa dengan kaunselor. Saya ceritakan masalah saya pada dia. Namun apa yang berlaku? Beliau merasakan isu ini adalah kelakar kerana saya lembut, beliau utarakan masalah saya ini di dalam kelas saya sewaktu ketiadaan saya. Etika sebagai kaunselor sudah dilanggar, itu masalah pertama, kedua, selesai atau tidak fitrah saya? Tidak. Akhirnya, saya terpaksa bertindak sendiri. Menampar belakang badan si pembuli hingga tersungkur di bawah kerusi. Benar kata orang, bila sabar kita hilang, kita boleh jadi jembalang. Untuk pengetahuan, kaunselor yang beretika itu, masih wujud di sekolah itu hingga ke harini ini. Jadi Ustazah, sesi kaunseling ini memang tidak berguna, bukan sebab cerita saya, tapi kaunselor bukan Tuhan boleh petik jari ubah fitrah jadi lelaki macam yang Ustazah impi.
6. BERIKAN KERJA LELAKI
Saya tak faham, di sekolah apa yang kerja lelaki? Betulkan lampu kalimantang? Mesin rumput padang? Betulkan tong air gedegang? Atau panjat bumbung betulkan mana yang bocor dan berlubang? Yang ini sumpah saya tak faham sampai sekarang. Maknanya, pekerja sekolah semua boleh berhenti dan mula mengangkang. Next!
7. LUASKAN PERGAULAN DENGAN LELAKI TULEN
Bapa perlu main peranan. Rapatkan diri dengan anak lelaki. Biar mereka tahu seronok jadi lelaki tulen. Sebenarnya Ustazah saya ragu-ragu, apa definisi lelaki tulen di mata Ustazah? Merokok, merempit, hisap dadah dikira tulen? Berkahwin, dapat anak dikira tulen? Bekerja baju kemeja berblazer jalan mengepak bela janggut misai dikira tulen? Saya tak faham. Tak tipu, memang isu ini pernah berbangkit dalam keluarga saya suatu ketika dahulu, disuruh bergaul dengan lelaki-lelaki di dalam taman, yang merempit dan pulang ke rumah 4 5 pagi, dadah dan merokok sampai mati, itu lelaki tulen dan sejati di mata ayah-ayah kami. Jadi sebenarnya, kalau merubah fitrah, adakah sikapnya bertambah baik? Ini kisah benar, rakan saya cuba bergaul dengan mat-mat motor, salah seorang dari mereka adalah kawan baik kawan saya, akhirnya dia menjadi lauk. Jadi, apa yang berubah fitrahnya?
8. MAK JANGAN BERI ANAK LELAKI INI KERJA PEREMPUAN
Ha, manusia berfikiran sempit dan kolot seperti Ustazah lah yang akan memusnahkan institusi kekeluargaan. Wanita hanya di dapur walau belajar tinggi di university termahsyur, lelaki adalah raja kerana dia ketua keluarga. Kasihan ibu bapa yang ada 5 orang anak lelaki kesemuanya. Terpaksa ambil bibik dan ibunya terpaksa buat kerja mengemas memasak sampai separuh mati. Mesti Ustazah akan kata “Oh kalau begitu, dibolehkan lah” eh, boleh pula. Ni macam mana punya kes ni. Jadi keluarga yang hanya ada anak lelaki dibolehkan la buat kerja perempuan dan jadi lembut? Yang lain tak boleh?
HASILNYA
Sebab itu saya kata, bandingkan epal dan epal, kenapa tidak suka epal kerana epal tidak sedap. Kurang faham? Baca semula dan cuba hadam. Ustazah kata pelajar lelaki lembut yang menerima pendekatan ini kembali menjadi lelaki sejati dan ramai yang berjaya jadi guru, kaunselor, peguam dan sebagainya. Bertanya tentang statistik itu klise. Bagi saya, lembut atau keras tak boleh jadi perbandingan, yang penting kita tahu mereka dan saya sendiri lelaki. Kami tahu kami lelaki. Saya mengaku saya lembut dan sekarang saya merupakan seorang pensyarah. Mentor-mentor saya lembut, pensyarah dan doktor falsafah. Ramai, pereka fesyen, mekap artis terkemuka, wartawan media, penolong penerbit media, penerbit media, pengarah teater dan banyak lagi. saya kira Ustazah bersikap tidak adil. Cuba isu ini dtukar kepada isu perempuan bertudung dan tidak bertudung. Daripada tidak bertudung kepada bertudung dengan 8 langkah-langkah dan akhirnya mula bertudung dan berjaya bekerja sebagai peguam, guru dan sebagainya. Atau isu perempuan tomboy kepada wanita tulen. Tak adil, tak adil.
Sekarang saya nak riak, saya lelaki lembut, kawan-kawan saya lelaki lembut, kami boleh campak buku sijil pencapaian kami di muka Ustazah, boleh baling bakul-bakul berisi piala kami, boleh tayang bakat-bakat kami dengan mudah depan muka Ustazah. Kami bukan tulen? Nak kami tayang kemaluan kami baru nak mengaku tulen atau bagaimana? Ada yang sudah berkahwin anak 4 5 6 namun masih lembut. Tak salah menjadi lembut. Langsung tidak. Maka ustazah, sama seperti menghina anak kurang upaya, moga Ustazah dapat anak lelaki lembut, supaya Ustazah boleh faham dan lakukanlah 8 cara Ustazah. Kita lihat sama ada betul atau salah cara Ustazah. Lembut bukan fitrah. Ia adalah sifat semulajadi yang tidak dipilih.
Disebabkan cara Ustazah ini, membuatkan sehingga kini saya tidak mahu menjejakkan kaki ke sekolah itu lagi, kalau orang tanya kronologi pendidikan saya, dari sekolah rendah saya akan terus melangkau ke diploma. Tak mahu dan takkan pernah wujud sekolah menengah dalam hidup saya. Alhamdulillah, sebagai seorang lelaki lembut saya tetap berjaya. Kerana saya ada ibu ayah kakak dan adik yang sentiasa memahami saya dan paling penting tidak mengamalkan cara macam yang Ustazah reka. Sepanjang artikel Ustazah, beliau anggap lembut itu adalah penukaran jantina daripada lelaki ke perempuan. Tak percaya? Baca semula.
Ustazah, tak perlu fikir jauh, anak Ustazah nak kahwin nanti, yang lembut-lembut ni yang Ustazah akan cari. Hantaran, pelamin, busana, semualah. Tak percaya? Kita nantikan.
Yang Benar,
Lelaki lembut yang masih tulen