t>

Breaking News

Larangan Solat Ketika Haid Ialah Satu Penindasan – Seyran Ates.

Oleh : Menara.my

Seyran Ates
Masjid Ibn Rushd-Goethe merupakan rumah ibadah Islam liberal terbaru di Berlin. Menurut pemimpin kepada 7 pengasas masjid itu, Seyran Ates, masjid ini mengundang semua orang termasuk shiah, sunni, alawi, sufi termasuk golongan LGBT.

Masjid ini adalah buah fikiran imam wanita kelahiran Turki, Seyran Ates. Selain daripada menjadi masjid liberal yang pertama, masjid ini juga telah mengharamkam pemakaian purdah di dalam masjid.

Menurut Seyran Ates, “Ini adalah atas sebab keselamatan dan juga kami percaya bahawa purdah bukan sebahagian dari agama, akan tetapi merupakan penyataan politik.” 


Seyran Ates mendakwa beliau mengelakkan diri dari masjid selama ini kerana perasaan diskriminasi di mana beliau tidak dapat solat bersama-sama jemaah lelaki serta perlu menunaikan solat di tempat buruk yang dikhaskan untuk wanita. 

Saya rasa didiskriminasi di dalam masjid-masjid di Berlin dan seluruh Jerman kerana tiada solat bersebelahan (lelaki dan wanita), kerana perempuan terpaksa pergi ke bilik yang buruk,” kata Seyran Ates. 

Masjid yang dibina di tingkat tiga Gereja St. John di Berlin telah memulakan operasi pada Jumaat 16 Jun ini lengkap dengan perlindungan keselamatan daripada pihak polis, membolehkan wanita menjadi imam dan solat bersebelahan dengan lelaki.

Solat Jumaat yang telah diadakan pada julung kalinya dimulakan dengan laungan azan oleh bilal Zuriani binti Tan Sri Abdul Khalid Awang Osman yang juga merupakan kadi untuk nikah pasangan sejenis dan perkahwinan campuran agama. 


Beliau yang juga merupakan Presiden Muslim For Progressive Values (MPV-USA), turut mempunyai cabang NGO tersebut di Malaysia yang dibentuk atas nama Komuniti Muslim Universal (KMU). 

Solat Jumaat ini telah menyaksikan dua orang imam, seorang lelaki Abdel-Hakim Ourghi dan seorang imam wanita bernama Elham Manea. Para jemaah juga tidak dipisahkan antara lelaki dan perempuan malahan jemaah perempuan yang duduk bersama lelaki tidak menutup aurat sama sekali.

Elham Manea yang merupakan seorang feminis mendakwa bahawa larangan solat untuk perempuan ketika haid itu adalah simbol ketidaksempurnaan perempuan berbanding lelaki. 


Perempuan disuruh untuk solat berasingan dengan lelaki dan menutup rambut ketika solat…dan untuk berhenti solat sewaktu datang darah haid… 

Kesemua larangan ini diletakkan ke atas perempuan kerana ianya cerminan kepercayaan sosial bahawa perempuan tidak lengkap dan tidak sesempurna lelaki dan tanpa syak lagi tidak berada pada tahap yang sama seperti lelaki,” tegas Elham Manea. 

Kewujudan masjid ini ditentang hebat oleh pertubuhan-pertubuhan Islam di serata Jerman.