t>

Breaking News

Persiapan Pesakit Kencing Manis Di Pagi Syawal.

Statistik berikut amat membimbangkan kita. Pada 2006, 11.6 peratus penduduk negara ini menghidap diabetes. Terdapat peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada 2011 menjadikan peratusan pesakit diabetes 15.2 peratus dan seterusnya meningkat kepada 17.5 peratus pada 2015.

Peratusan ini sangat tinggi berbanding dengan beberapa negara lain di Asia Timur. Sebagai contoh, walaupun China mempunyai 96 juta pesakit tetapi meliputi hanya 9.2 peratus daripada penduduknya. Begitu juga India, mempunyai 66 juta pesakit, iaitu 8.6 peratus daripada jumlah penduduknya.

Data di atas menjadikan seramai 3.5 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan daripada jumlah tersebut, separuh (9.2 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi penyakit tersebut.[1]

Faktor utama penyakit kencing manis yang tidak terkawal adalah tidak patuh arahan makan ubat dan tidak mengawal nafsu makan. Negara kita diibaratkan syurga makanan sehinggakan pesakit kencing manis sukar melakukan adaptasi kehidupan. Akhirnya berlakulah komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan seperti kegagalan buah pinggang, sakit jantung, angin ahmar, penyakit saraf dan sebagainya.

Pengawalan makanan pesakit kencing manis amat sukar terutama di musim perayaan. Gian makan siang hari sewaktu sebulan Ramadhan lalu diqoda pada hari raya Syawal. Doktor selalu memberi nasihat agar kedatangan Syawal ini janganlah dicemari dengan gelojoh nafsu makan. Sepatutnya sebulan berpuasa menjadi penampan nafsu kita dari terus bermaharajalela.

Tips kesihatan berikut mungkin berguna untuk mengawal kencing manis sewaktu hari raya.

1) Ingat betul-betul ubat kencing manis. Masa makan, dos dan berapa kekerapannya. Di pagi raya, ramai antara kita sibuk menyediakan juadah dan layan tetamu sehingga lupa untuk utamakan makan ubat kencing manis. Ahli keluarga terdekat sewajibnya memainkan peranan untuk mengingatkan pesakit kencing manis agar makan ubat ikut panduan yang ditetapkan. Ramai pesakit kencing manis akan terdampar di bilik kecemasan hospital kerana pengsan akibat gula dalam darah yang tinggi. Justeru elakkan kejadian tragis ini dalam keluarga anda dengan mengambil ubat kencing manis tanpa engkar walaupun di hari raya.

2) Sekiranya anda merancang untuk balik kampung. Senarai pertama yang patut diletakkan dalam bagasi anda adalah ubat-ubatan kencing manis. Pesakit yang perihatin mengenai kesihatan mereka, sudah pasti ingat jenis ubat, bagaimana cara mengambil dan bila masanya. Bagi memudahkan, beli bekas kedap udara dan dilabelkan khas ubat supaya senang dicapai apabila masanya sampai. Bawa jumlah yang secukupnya mengikut jumlah hari yang anda rancang berada di kampung. Jadikan ubatan kencing manis ini sama penting dengan kad pengenalan anda. Wajib dibawa ke mana-mana sahaja.

3) Pesakit yang menggunakan insulin, ingat betul-betul tatacara membawa ubat insulin dalam perjalanan ke kampung. Jangan jadikan alasan susah membawa insulin ini kerana teknologi terkini insulin sudah tersedia-kekal dalam pen. Bukannya lagi dalam botol-botol insulin seperti dahulu kala.
i) Anda boleh membawa pen insulin tersebut tanpa menyimpannya di tempat sejuk. Ia boleh digunakan selama sebulan (30 hari) setelah dimasukkan dalam kelongsong pen insulin. Cuma elakkan ia terdedah secara terus dibawah terik matahari. Selagi berada dalam tas tangan anda, ia selamat digunakan.
ii) Jika anda merasakan insulin tidak mencukupi, anda perlu membawanya lebih. Satu kelongsong insulin biasanya mempunyai 300 unit. Kira secukupnya jumlah unit dos insulin yang akan digunakan sepanjang berhari raya. Jika anda memerlukan cucuk sebanyak 15 unit, 2 kali sehari, bermakna jumlah sehari adalah 30 dos unit. Justeru satu kelongsong akan habis selama sepuluh hari. Andai sekiranya percutian anda selama 2 minggu, maka 2 kelongsong penuh insulin wajib dibawa. Cara bawanya dalam perjalanan juga perlu dengan cermat. Masukkan kelongsong insulin tadi dalam kotak ais yang suhunya sekira-kira 4-8 ⁰C. Kemudian setelah sampai destinasi, alihkan kelongsong insulin tadi ke dalam peti sejuk. Ambil setelah anda memerlukan.

3) Kira jumlah kalori makanan anda. Walaupun ramai yang akan memperli anda kerana terlalu tegas dalam bab ini, jangan hiraukan mereka. Yang menderita adalah anda juga, jika pengambilan kalori berlebihan ini boleh menyebabkan anda menjadi koma/hiperglisemia. Anda boleh merujuk contoh pengiraan kalori ini dalam garis panduan yang diberikan oleh KKM (sila lihat pautan rujukan).[2] Jaga-jaga dalam makan berlebihan ini adalah satu sikap berhati-hati. Agar komplikasi yang tidak diingini berlaku ke atas diri. Pesakit Kencing Manis tidak digalakkan mengambil lebih dari 1600 kalori (lelaki) sehari. Manakala pesakit wanita tidak melebihi 1300 kalori sehari. Jika anda mengambil kalori yang berlebihan, ia akan disimpan dalam bentuk lemak, yang akhirnya memudaratkan diri.

Semoga ingatan ini menjadi panduan kepada saya dan anda semua. Ajal maut, rezeki, jodoh ditentukan olehNya jua. Tetapi kita sebagai manusia diberi ruang ikhtiar bagi menjadikan kaedah ajal maut itu penyakit diasbabkan kepada kecuaian kita dalam mencegah berlakunya penyakit.
Sekian