t>

Breaking News

Remaja 18 Tahun Koma Selepas Diliwat Dan Dihentak Dengan Helmet.

Tidak reda lagi dengan kejutan kisah pegawai kadet laut dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman, 21 yang dipercayai didera rakan dengan seterika panas sehingga membawa kepada kematian, satu lagi kejadian hampir serupa berlaku di Pulau Pinang.  

Astro Awani melaporkan kejadian tersebut menimpa dua remaja lelaki yang didakwa dipukul dengan topi keledar. Bukan itu sahaja, salah seorang mangsa dipercayai diliwat dan mempunyai kesan melecur di bahagian belakang badan sehingga menyebabkan mangsa kini daam keadaan bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang. 

Gambar - Awani
Mangsa dikenali sebagai T Nhaveen, 18 kini dilaporkan tidak sedarkan diri dan pihak hospital memaklumkan keadaannya kini koma.

Menurut ibu saudaranya, G Paramitha, ahli keluarganya berasa kesal dengan kejadian tersebut dan mahu pihak polis mengambil tindakan wajar terhadap kumpulan tersebut, yang memukul mangsa sehingga koma. Katanya lagi, tindakan memukul sehingga membahayakan nyawa orang lain ini sangat tidak wajar dilakukan. 

Mereka juga tidak mahu perkara serupa berlaku pada keluarga orang lain.Mangsa kedua pula dikenali sebagai T Previin, 19 yang turut menerima rawatan di HPP kerana mengalami kecederaan di bahagian muka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar memaklumkan, seramai lima lelaki berusia 18 hingga 25 tahun yang terlibat dalam kes itu sudah ditahan oleh pihak polis. Mereka semua ditahan selamat empat hari bermula 10 Jun hingga 13 Jun ini bagi membantu siasatan. 

Difahamkan, ketika kejadian pada jam 2.10 pagi itu, dua mangsa berusia 18 dan 19 tahun sedang membeli burger sebelum mereka terserempak dengan dua lelaki dikenali mereka. 

Di situ, berlaku ejek mengejek sehingga berlarutan pergaduhan dan suspek menelefo enam lagi rakan untuk ‘membantu’ mereka. 

Mangsa seterusnya dipukul menggunakan helmet dan ditumbuk serta ditendang oleh kumpulan berkenaan. Pun begitu, remaja berusia 19 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Seorang lagi mangsa telah dibawa menaiki motosikal ke kawasan padang berdekatan dan dipukul lagi sehingga cedera parah. 

Orang awam dilaporkan telah membantu menghantar mangsa ke hospital dan dikatakan dalam keadaan kritikal.