t>

Breaking News

Abu Hurairah Anti Anjing - Ini Jawapan RORA Kepada Asiah Abd Jalil.

[Abu Hurairah Anti Anjing?]

Ramai yang meminta saya komen printscreen ini. Penulisnya saya tidak kenal, cuma dikatakan beliau perempuan. Saya kira lebih hormat untuk saya panggilnya dengan gelaran "akak".


 
Saya katakan :

1. "Akak" yang menulis status ini sebenarnya jahil ilmu hadis. Malangnya beliau berani ingin bercakap soal hadis apatah lagi berani mempertikaikan kelayakan dan integriti Abu Hurairah dalam menyampaikan hadis. Perlu diingat bahawa Abu Hurairah adalah sahabat Nabi sallallah alaih wasallam. Tidak ada yang menuduh sahabat Nabi sallallah alaih wasallam berdusta dalam hadis melainkan ahli bidaah.

Kata Imam Ahmad:

إذا رأيت رجلاً يذكر أحداً من الصحابة بسوء فاتهمه على الإسلام


Maksudnya: Apabila kamu melihat seseorang menyebut seorang sahabat dengan keburukan maka pertikaikan pegangannya terhadap Islam. (Lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 8, hal. 148)

Kata al-Nasaie:

إنما الإسلام كدار لها باب. فباب الإسلام الصحابة. فمن آذى الصحابة إنما أراد الإسلام
Maksudnya: Sesungguhnya Islam ini seperti rumah yang mempunyai pintu. Pintunya adalah sahabat Nabi. Sesiapa yang menyakiti sahabat sesungguhnya dia mahukan (kehancuran Islam). (Lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 1, hal. 339)

2. Dakwaannya konon Abu Hurairah anti anjing adalah dakwaan yang kurang cerdik. Jika diteliti Abu Hurairah adalah perawi yang meirwayatkan seorang jahat diampunkan kerana memberi anjing minum. Di mana sikap antinya ketika meriwayatkan hadis ini?

3. Jika Abu Hurairah anti anjing, bagaimana untuk kita katakan kepada perawi lain yang turut meriwayatkan hadis larangan menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan? Hadis larangan pelihara anjing kecuali anjing berburu, jaga ternakan dan kebun datang dari beberapa orang sahabat seperti Abdullah bin Umar (riwayat Al-Bukhari, no hadis: 5164, Muslim, no. Hadis: 4107, al-Nasaie, no hadis: 4287 ), Abdullah bin Mughaffal (riwayat al-Nasaie, no. Hadis: 4288), Sufyan bin Zuhair (riwayat Al-Bukhari, no hadis: 2198, Muslim, no. Hadis: 4119).

Adakah semua sahabat ini anti anjing? Jika benar, apakah buktinya? Jika Abu Hurairah dikatakan anti anjing kerana suka kucing, di mana bukti semua sahabat ini suka kucing untuk kita katakan dia anti anjing?

4. Akhirnya saya ingin nasihatkan akak ini supaya belajar agama melalui sumbernya yang benar. Jangan hanya berpada dengan tulisan liberal dan orientalis yang kajiannya diragui terhadap Islam.

5. Juga jangan banyak tengok Tom n Jerry yang gambarkan anjing dan kucing suka bergaduh. Nanti terbawa-bawa dengan kartun. Tuan yang pelihara Tom (si kucing) dalam sitcom itu pun tidak digambarkan sebagai anti anjing. Macam mana lah analisis akak boleh sampai ke tahap merapu begini? Saya pelik.

6. Isu kenajisan anjing dan haram memakannya ini isu yang panjang. Tidak perlu prejudis kepada sahabat Nabi sallallah alaih wasallam.

Salam hormat dari saya,

Dr. Rozaimi Ramle