Betul Ke Petai & Ulam-Ulaman Boleh Ubati Kanser?

Oleh : Suhazeli Abdullah


Ramai pula yang share video seorang Pak Cik Cina penjual ramuan berbentuk sel placenta. Tetapi ucapan pelat Pak Cik tu menyebut "petei". Kononnya beliau merasai sendiri pengambilan petei menyembuhkan penyakit kencing manis, buah pinggang, sakit jantung dan darah tinggi. Amat menakjubkan dengan memakan petei semuanya hilang!

Tetiba video tersebut disekalikan dengan buah petai yang menjadi ulam kegemaran kita semua. Ramai yang komen angkat jari. Ada juga yang menyanjung khazanah herba kita sebenarnya hebat, tetapi perubatan moden sahaja menafikannya. Tidak kurang jug ada yang menuduh konspirasi barat dan big pharma yang menidakkan kehebatan anugerah semulajadi yang Tuhan ciptakan.

Sadis apabila membaca semua komen. Mereka menganggap bahawa ubatan hospital tu bukan Tuhan yang ciptakan. Semuanya doktor berkepala barat yang pandai-pandai mereka-reka! Sedangkan doktor hanya wasilah/perantara kepada kaedah berubat. Semuanya ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada para doktor untuk menyusun asbab bahan ciptaan Allah itu. Malah jika buah petai ini benar-benar mempunyai khasiat perubatan, doktor sendiri orang pertama akan menggunakannya.

Mereka lebih percaya kepada kata-kata seorang individu, mungkin jurujual produk. Tidak disahihkan dengan mana-mana kajian secara tepat. Hanya dia seorang yang mengaku, entah benar atau kelentong demi melariskan jualan.

Kajian terhadap petai ni telah saya tulis satu ketika dahulu. Boleh saya salin balik untuk pelajaran kita semua.[1]

Saya bukan menolak pengambilan pemakanan yang berkenaan (petai dan seumpamanya). Malah petai dan jering juga menjadi kegemaran saya sekali sekala apabila berpalut dengan budu dan cabai. Tetapi yang menjadi ketegasan saya menulis ini adalah supaya tiada dakwaan yang sebegitu ajaib sehinggakan petai dan jering lebih berkesan 10,000 kali ganda dari kemoterapi. Mana asasnya? Mana sumber kajiannya? Sudah berjaya berapa ramai pesakit kanser dengan ulaman tersebut? Ianya tidak menjanjikan jawapan yang enak. Kerana tiada satu pun kajian mengesahkan ulaman berkenaan mengatasi perawatan kanser.

Ada pesakit saya disahkan kanser payudara tahap 1, dinasihatkan oleh pakar bedah agar melakukan pembedahan. Beliau memilih untuk bertangguh kerana mendapat harapan palsu dari pelbagai dimensi termasuklah pengambilan ulaman seperti petai, jering dan lemon panas. Akhirnya beliau menjejaki kaki semula ke hospital kerana sel kanser sudah merebak tahap 4 enam bulan kemudian. Beliau sekarang sudah menjadi arwah. Semoga Allah mencucuri rahmat atas ruh beliau.

Ada yang bertanya, takkan tak boleh mencuba langsung ulaman tersebut? Sekali lagi sila dengar nasihat saya, makan boleh, cuba boleh tetapi jangan sesekali menolak kaedah perubatan terkini. Kami sudah melihat ramai yang berjaya bebas dari kanser setelah mendapat rawatan.

Adakah petai, jering ini tiada kajian langsung yang menyokong sebagai ubat anti kanser atau seumpamanya? Ada. Pernah Universiti tempatan kita melakukan kajian atas ulaman ini. Sebagai contoh, ujikaji ekstrak petai ke atas tikus makmal bagi merawat stres.[2] Ekstrak petai yang diberikan itu berkesan mengurangkan stres kepada tikus-tikus berkenaan. Namun, sejauh mana kesan pada manusia? Kebanyakan kajian bagi mengetahui kesan phyto-nutrient (ulaman) ini semuanya peringkat ujian makmal sahaja. 


Setakat ini ujikaji ke atas manusia bagi menentukan keberkesanan, keselamatan, kualiti dan kos rawatan belum diadakan. Kenapa? Antara sebab yang sesama kita boleh fikirkan adalah tak berbaloi. Sedangkan ubat kemoterapi yang sedia adalah lebih menjimatkan dan telah terbukti dari sudut kajian sejak sekian lama.

Cuba kita bayangkan kesan anti stres bagi petai sahaja, sebanyak ekstrak 10 kg petai digunakan bagi menghasilkan kesan reaktiviti ke atas 5 ekor tikus (kajian melihat anti stress).[3] Berat tikus sekitar 350 mg menggunakan 10 kilogram petai! 


Jika ujikaji atas manusia berapa kilogram petai akan digunakan? Itupun secara ekstrak. Jika kaedah makan secara mentah, kena makan berapa lori pula baru menandingi kemoterapi?

Share this :

Previous
Next Post »