t>

Breaking News

Cara-Cara Menuntut Wang Tidak Dituntut Milik Anda Di Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui rupa-rupanya ada sejumlah wang milik kita di dalam bank, firma atau syarikat yang tidak dituntut sejak bertahun-tahun lamanya. Malah, kita sendiri sebenarnya lupa atau tidak tahu tentang kewujudan wang tersebut. Ramai juga yang tidak tahu semakan Wang Tak Dituntut (WTD) boleh dibuat di Bahagian WTD, Jabatan Akauntan Negara. 

Terdapat sebanyak RM5.6 bilion jumlah terkumpul WTD dilaporkan masih gagal diserahkan kepada empunya kerana tiada tuntutan dibuat. 

Pertama sekali, kita ketahui terlebih dahulu akan apa yang dimaksudkan dengan Wang Tak Dituntut

1. Wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu (1) tahun. 

Contoh dibawah kategori ini ialah:

gaji, upahan, bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayar kepada kakitangan;

dividen;

keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan;

tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran;

draf bank, cashier's order, dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput;

simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang; cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai. 

Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit. 

2. Wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam satu tempoh masa tidak kurang dari tujuh (7) tahun. 

Contoh dibawah kategori ini ialah:

akaun simpanan;
akaun semasa;
Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik). 

3. Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urusniaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dari dua (2) tahun. 

- akaun pemiutang dagangan
- akaun penghutang dagangan berbaki kredit 

Berdasarkan maklumat di atas, jadi bolehlah kita menuntut kembali baki wang yang ada dalam akaun, dengan syarat mengikut apa yang telah ditetapkan. 

Cara membuat semakan

1. Hanya serahkan MyKad di kaunter dengan hadir sendiri di mana-mana Jabatan Akauntan Negara di seluruh negeri. 

Semak lokasi disini.

2. Pegawai bertugas akan semak melalui sistem dan tidak sampai lima minit kita akan dapat tahu jika mempunyai WTD. 

3. Tiada bayaran atau caj perkhidmatan dikenakan. 

4. Bayaran akan dibuat kepada penuntut selepas semua butiran dalam borang yang diisi disahkan sahih.

Dapat tuntut hampir 14,000!



Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Idah Binti Basri turut berkongsikan pengalamannya menuntut wang milik beliau di Jabatan Akauntan Negara bahagian Wang Tidak Dituntut baru-baru ini.

Tulis Idah, beliau ke cawangan WTD di Menara Maybank, cawangan Kuala Lumpur. Disitu beliau kemudiannya memberikan kad pengenalannya dan selepas disahkan beliau memiliki beberapa ribu wang yang belum dituntut beliau kemudiannya diarahkan mengisi borang bagi menuntut semula wang berkenaan.

Wang tak dituntut bukan hanya terhad daripada akaun-akaun bank yang tidak aktif, tetapi berkemungkinan bayaran rebat insurans, bayaran elaun atau bonus daripada syarikat tempat lama bekerja atau mana-mana firma yang mempunyai kaitan dengan kita. 

Syarikat-syarikat berkenaan mungkin gagal menyerahkan sendiri wang hak kita itu kerana pertukaran alamat dan maklumat peribadi yang tidak lengkap. Oleh itu, berbuat semakan di cawangan WTD di kawasan terdekat anda, mana tahu silap-silap ada berpuluh ribu yang anda bakal dapat nanti. - Sozcyili.