t>

Breaking News

Gagal Bayar Yuran PIBG, Murid Disebat 12 Kali.

Kumpulan ibu bapa terkilan dengan kejadian seorang pelajar sekolah rendah di sini disebat 12 kali disebabkan kelewatan menjelaskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) lapor Free Malaysia Today.

Portal itu yang memetik sumber akhbar China Press melaporkan, pelajar dari sebuah sekolah Cina di Damansara di sini dihukum setelah gagal menjelaskan pelbagai bayaran PIBG. 

Pengerusi Kumpulan Tindakan Melaka Bagi Ibu Bapa Dalam Pendidikan (Magpie), Mak Chee Kin berkata, sukar untuk mempercayai para pelajar dikenakan tindakan atas alasan lewat menjelaskan yuran. Jika benar, maka saya fikir sekolah terbabit melampaui batas, kata beliau kepada FMT. 

Beliau juga mempersoalkan sama ada ibu bapa pelajar terlibat pernah berhubung dengan pihak sekolah mengenai masalah kewangan mereka. Menurut beliau, pihak sekolah boleh membenarkan sedikit kelonggaran jika mereka sedar ibu bapa tidak mempunyai kedudukan kewangan yang baik. 

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim berkata, yuran merupakan 1 bentuk sumbangan dan tidak wajib bagi ibu bapa untuk mengeluarkan wang mereka bagi tujuan tersebut. Bayaran PIBG adalah sumbangan. Ia bukan bayaran sekolah. Bukan semua orang mampu membayar, kata beliau. 

Presiden Majlis Perundingan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan, Mohamad Ali Hassan berkata, memukul pelajar atas alasan pembayaran lewat adalah perbuatan kejam. Sebaiknya, PIBG perlu menjaga kesejahteraan pelajar, katanya sambil menambah, PIBG mempunyai tugas membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan. 

Gambar - Google
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, di bawah peraturan kementerian pendidikan, pelajar hanya boleh dihukum kerana melakukan kesalahan serius. Tidak ada ruang bagi mengatakan pembayaran lewat adalah 1 kesalahan. 

Wakil rakyat DAP itu menggesa kementerian menyiasat kejadian tersebut. Pendidikan kita harus bebas dan tidak ada yuran yang harus dikutip secara wajib. Kerajaan mesti memperuntukkan dana kepada semua sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil, kata beliau. 

Awal minggu ini, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Seri Chong Sin Woon menekankan, kerajaan tidak pernah memaksa ibu bapa membayar yuran PIBG. Yuran perlu dibayar secara sukarela dan bukan secara paksa, katanya dipetik China Press pada Selasa lalu.