t>

Breaking News

Kedegilan Mak Bapak Salahkan Jin Bakal Hancurkan Masa Depan Anak Sendiri.

LEMBU PUNYA SUSU, SAPI DAPAT NAMA; KUMAN PUNYA KERJA, JIN DAPAT NAMA.
Sedih saya mengenangkan nasib seorang pesakit saya di wad. Budak lelaki ini masih bersekolah rendah. Dia sebelumnya sihat tiba-tiba mengadu sakit sendi pinggul kanan, terhincut-hincut hingga langsung tidak mampu berjalan. Sakit yang teramat sangat sehinga menjalar ke lutut. Demam tidak kebah-kebah. Ibubapa bawa berjumpa 'ustaz'. Saka katanya. Saka yang datang dan pergi. Berjalan-jalan dalam badan. Sebab tu sakit boleh berubah-ubah tempat, kejap di pinggul, sekejap di lutut.
Budak ini hanya dibawa ke hospital selepas 3 minggu. Sendi telah pun rosak. Sebahagian kepala pinggul (head of femur) telah pun musnah dimakan kuman (Osteomyelitis). Tiada lagi ruang sendi yang tinggal (lihat imej xray).
Terang-terang ini adalah Septic arthritis of the hip iaitu jangkitan kuman dengan nanah dalam sendi pinggul. Sakit yang berubah tempat tu adalah disebabkan radicular or referred pain. Sakit di pinggul, adakalanya hingga ke lutut dan ke belakang. Sakit di belakang, membawa ke peha dan betis disebabkan oleh hubungan saraf belakang (L2, L3,L4,L5).
Kami menggunakan Kocher criteria bagi membuat diagnosis ini. Ia adalah hasil kajian saintifik Dr. Mininder S. Kocher dari Hospital Boston yang menggunakan 4 kriteria khusus.
Jika TIADA kriteria yang positif, maka kebarangkalian ada Septic arthritis adalah 0.2 peratus.
1 kriteria : 3 %
2 kriteria : 40%
3 kriteria : 93%
4 kriteria : 99%.
Adik ini ada 4 kriteria positif yang memberi 99 peratus kemungkinan Septic arthritis.
1. Temperature (suhu) 38.5 (normal 37 C)
2. Unable to weightbear / tidak boleh berpijak
3. ESR (keradangan) > 120 (normal 10 mm/hr)
4. Sel Darah Putih (WBC) 15.4 (normal 4-10)
Kuman yang berkumpul di dalam sendi membentuk nanah perlu dibuang dan sendi perlu dibasuh. Pembedahan perlu dilakukan. Antibiotik perlu diberi selama 6 minggu.
Ibubapa budak ini tetap tidak mahu rawatan kami walaupun telah diterangkan dengan teliti. Hanya mahukan antibiotik sementara menunggu lebih ramai "ustaz-ustaz" berkumpul untuk berikhtiar. Dah tu, antibiotik dan pembedahan ni bukan satu ikhtiar ke? Apa ke sempit sangat pengertian ikhtiar kamu ni?
Apa yang jelas, kemajuan negara & semakin terpelajarnya masyarakat tidak dapat menghapuskan kejumudan & kepercayaan tahyul tidak bertempat ni.
Kami hanya mampu melihat sendi pinggul yang semakin hancur dimakan kuman di depan mata kami. Malah anak ini boleh meninggal sekiranya kuman masuk ke dalam darah (bacteraemia) dan menyebabkan Sepsis. Tiada apa yang kami dapat lakukan tanpa kebenaran/consent ibubapa pesakit. Yang malang ialah anak yang tidak berdosa ini.
Kelambatan ibubapa membawa anak mereka ke hospital telah menyebabkan sendi ini rosak. Lambat kerana percayakan sedara mara yang taksub kepada tahyul. Yang akan menghadap anak ini ialah anda, ibubapa dan bukannya ibu sedara, ayah sedara, sepupu, atuk, nenek atau jiran anda.
Yang saya boleh beritahu dengan pasti, anak yang tidak berdosa ini akan mengalami sakit sendi kronik, terbatas pergerakan, malah boleh jem terus (ankylosed). We have already missed the boat. Sendi telah pun rosak. Sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Yillek. Anak ini akan menyalahkan 'kecerdikan' anda ini satu hari nanti.
Saya bukannya tidak percaya kepada makhluk halus. Kita WAJIB percaya mereka wujud. Apatah lagi di hospital. Kalau tidak, buku Diagnosis Fobia tidak akan wujud. Cerita-cerita saya semuanya daripada kisah benar. Budak perempuan yang mencuit kaki-kaki pesakit dan bermain pintu di Kenanga 6 tu pun masih ada lagi...
Namun, jika sememangnya ada bukti perubatan mengenai penyakit tertentu, tidak perlulah terus disalahkan Jin. Semuanya salah Jin. Kuman punya kerja, Jin dapat nama. Jin tidak bersalah dalam kes ni. Khalasss!!
#DrMahyuddin
Pakar Ortopedik
Rujukan: 
1. https://www.acep.org/content.aspx?id=82236
2. J Bone Joint Surg Am 1999;81:1662-70
3. Imej: Google