Indonesia Mengaku Tersilap Besar Boikot Perlawanan Selepas Melihat Rakaman Semula.

Oleh : Bernama

Persatuan Sepaktakraw Indonesia (PSI) mengakui kesilapan besar skuad sepak takraw wanita negara itu meninggalkan gelanggang ketika menentang Malaysia, semalam.

Timbalan Presiden PSI, H Syafrizal Bakhtiar, berkata tindakan jurulatih serta pemainnya itu kerana terlalu beremosi dan kecewa terhadap wasit (pengadil) bertugas.  



“Namun selepas meneliti dan melihat semula data serta video ulangan, ternyata tekong kami mengangkat kaki ketika melakukan servis dan ia adalah kesalahan.

“Ketika itu, jurulatih, pemain dan barisan pengurusan kami hanya melihat dengan mata kasar dan kami akui sudah melakukan kesilapan,” katanya di Kuala Lumpur.

Menurut Syafrizal, beliau selaku pengurus pasukan semalam, cuba memujuk jurulatihnya supaya tidak meninggalkan gelanggang namun disebabkan perlawanan yang sedang ‘hangat’, hal yang kecil pun boleh menjadi besar.


“Saya sebagai pengurus pasukan sudah berusaha mengikuti peraturan bahawa kami tidak boleh melakukan protes besar dan hanya boleh membuat bantahan mengikut undang-undang ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dan menggunakan prosedur yang betul.

“Namun kemarahan yang tidak terbendung itu, kami 'keluar gelanggang' dan kami kesal serta memohon maaf atas kesilapan itu,” katanya.

 
Keluar Gelanggang
Insiden protes sehingga meninggalkan gelanggang itu tanda bantahan jurulatih Indonesia, Asry Syam terhadap keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan empat servis yang dilakukan tekong dari negara itu, Lena, ketika mereka sedang mendahului set kedua dengan 16-10.


Tindakan Indonesia itu memberi kemenangan 2-0 secara pembatalan kepada Malaysia selepas pasukan tuan rumah menang set pembukaan dengan 22-20.

Nasib Indonesia bakal diketahui dalam masa terdekat ini selepas Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan akan bermesyuarat bersama jawatankuasa teknikal yang lain bagi menentukan jenis hukuman yang akan dikenakan ke atas republik itu.  

Share this :

Previous
Next Post »