t>

Breaking News

Kerana Hisap Rokok Setiap Hari, Faid Kini Mengidap Kanser Mulut Di Usia 24 Tahun.

Oleh : Terengganu Times

Muhammad Faid mula merokok ketika berusia 17 tahun dan menghisap lima batang rokok setiap hari bersama rakan-rakannya. Dia baharu sahaja berusia 24 tahun dan salah seorang pesakit muda yang disahkan menghidap kanser mulut.
Pesakit
Dia kini menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Walaupun punca kanser itu tidak diketahui, doktor berkata kebanyakan pesakit kanser mulut terdiri daripada perokok. 

Muhammad Faid yang juga pelajar tahun tiga jurusan pendidikan di sebuah universiti berkata pada awalnya dia mengalami masalah ulser di lidah kirinya. 

Namun dia tidak mengendahkannya kerana ia tidak begitu menyakitkan. Ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Anita, 52, berkata luka yang muncul awal tahun lalu tidak hilang begitu sahaja. 

Pada November, hasil ujian biopsi mendapati ia adalah kanser. Anita berkata, antara November dan Mei lalu, Muhammad Faid mengalami pendarahan sebanyak empat kali dan terdapat rongga dalam lidahnya. 

Kanser itu masih di Tahap I dan II pada Februari tetapi pada Mei ia sudah di Tahap III. Susulan itu, doktor terpaksa memotong sebahagian lidah Muhammad Faid pada 17 Mei lalu. 

Doktor telah membina semula lidahnya dengan lebihan kulit pahanya dan Muhammad Faid kini boleh bercakap sedikit. Dia masih tidak boleh makan tetapi hanya menerima makanan menerusi tiub manakala lubang telah ditebuk di trakea bagi membolehkannya bernafas. 

Seorang lagi pesakit yang enggan namanya didedahkan berkata dia mula-mula menemui satu benjolan kecil di pipinya pada Mac lalu. 

“Ia seperti jerawat kecil tetapi pada Mei ia menjadi semakin besar di pipi kanan. Ia membesar amat cepat,” kata suri rumah berusia 60 tahun dari Johor yang disahkan menghidap kanser mulut Tahap IV. 

Wanita itu berkata dia tidak menyedari perbuatan mengunyah sirih dan pinang berupaya meningkatkan risiko kanser. “Saya mengunyah sirih dan pinang setiap hari sejak berusia 13 tahun. 

Ibu saya yang berusia 83 tahun turut mengunyah makanan itu sepanjang hidupnya tetapi dia sihat. “Saya menasihati ibu dan kakak sulung saya untuk berhenti mengunyah makanan itu. Tiada siapa patut menerima penyakit seperti ini,” katanya.