Saya Dengar Suara Mencari Tetapi Mereka Tak Nampak Saya Walaupun Saya Menjerit Berkali-Kali..

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang penuntut universiti yang sesat lebih 19 jam di Bukit Galla, Labu di sini, diselubungi misteri, walaupun mangsa ditemui selamat jam 2 petang semalam, lapor Berita Harian.

Cheong Ann Guey, 21, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mendaki seorang diri petang semalam, menghubungi ibunya jam 7 malam tadi, memberitahu dia tidak menemui jalan keluar dari hutan. 

Gambar - Utusan Online
Ibunya segera melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang kemudian melancarkan SAR jam 7.30 malam tadi. Operasi SAR dilakukan oleh 30 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM). 

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali mendakwa, pasukan SAR beberapa kali menerima koordinat lokasi yang dihantar mangsa kepada ibunya melalui aplikasi Whatsapp, namun Ann Guey tidak dapat dikesan. 

Mangsa memberitahu ibunya melalui panggilan telefon, dia mendengar anggota pasukan SAR memanggilnya beberapa kali sejak malam tadi dan melihat mereka dari jauh, tetapi jeritannya tidak didengari pasukan itu. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata mangsa ditemui pasukan SAR jam 2 petang dan tiba di kaki bukit itu dua jam kemudian. 

“Dia ditemui sedang berehat dalam keadaan lemah di bawah pokok berhampiran sungai. Dia memberitahu hanya minum air sungai,” katanya. Beliau berkata, operasi SAR yang bermula malam tadi berhadapan cabaran kerana kawasan itu tidak mempunyai trek pendakian. 

Katanya, pencarian hari ini diperluas dengan bantuan polis dan Orang Asli dari kampung berhampiran. Ahmad Mukhlis berkata, mangsa bernasib baik kerana membawa alat pengecas bateri dan kawasan itu mempunyai liputan talian telefon, membolehkan mereka berkomunikasi untuk menentukan lokasinya

Share this :

Previous
Next Post »