"Insya-Allah, Mereka Mati Syahid", Kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah.

“Insya-Allah, mereka mati syahid,” kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah, Muhammad Zahid Mahmod dalam reaksinya berhubung kebakaran pusat pengajian agama itu yang mengorbankan 25 mangsa termasuk dua guru lapor MalaysianGazzette.
Katanya, mangsa yang terkorban dan cedera sanggup meninggalkan ibu bapa, adik beradik serta rakan sepermainan untuk berada di pusat tahfiz itu semata-mata hendak belajar agama.
“Budak-budak yang masih kecil ini, kita anggap mereka mati syahid. Mereka sanggup tinggalkan ibu bapa, tinggalkan masakan air tangan bonda, adik beradik dan masa bermain tinggal di sini semata-mata untuk belajar agama.
“Mereka ini, insya-Allah mati syahid,” katanya ringkas kepada media yang ditemui ditempat kejadian di sini hari ini.
Gambar - Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah, Muhammad Zahid Mahmod (Oleh MG)
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi tadi, kebanyakan pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun sedang tidur di tingkat atas bangunan pusat tahfiz berkenaan.
Seramai 24 daripada 25 mangsa termasuk 22 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu maut akibat kebakaran itu.
Semua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami 36 pelajar dan enam guru.
Seramai 14 pelajar dan empat guru lagi berjaya menyelamatkan diri, tetapi enam dilaporkan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Share this :

Previous
Next Post »