t>

Breaking News

Sajat, Jakim Jumpa Petang Ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman pada petang ini.
Memetik laporan mStar Online hari ini, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan  Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof memberitahu, pertemuan itu bakal diadakan di Wisma Nur Sajat di Shah Alam pada pukul 3 petang.
"InsyaAllah saya akan berjumpa dengan Sajat pukul 3 petang ini di Wisma Nur Sajat.
"Saya telah berhubung dengan beliau dan inilah waktu yang diberikan kepada kami untuk perjumpaan ini," katanya.
Izwan berkata, kunjungan tersebut turut disertai beberapa pegawai di bahagian sama di Jakim.
"Diharapkan pertemuan bersama Sajat berjalan lancar," tambahnya.
Terdahulu, Muhammad Azri ataupun lebih dikenali sebagai blogger Papa Gomo telah membuat aduan kepada Datuk Seri Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai jantina Sajat. Panggilan yang dibuat itu juga dirakamkan dan disebarkan di laman sosial sejak semalam.
Pada Selasa pula, mStar Online melaporkan Sajat sedia berjumpa dengan pihak Jakim berhubung isu berkaitan dirinya hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun Sajat menjelaskan bahawa beliau hanya bersetuju mengadakan pertemuan itu sekiranya ia dilakukan secara berhemah demi kebaikan bersama.
Sebelum ini, Izwan menerusi 'mesej terbuka' di laman sosial Facebook menyatakan hajat mahu berjumpa dengan Sajat memandangkan isu yang  timbul kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.
Berkenaan hal-hal membabitkan Sajat di media sosial, Izwan yang merupakan pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim berkata, pihaknya mengambil sikap berkecuali kerana mereka perlu mengetahui masalah sebenar yang dihadapi.
“Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap Sajat.
"Saya dan rakan-rakan di Jakim sentiasa terbuka membantu dan beri khidmat nasihat berhubung isu kekeliruan identiti dan jantina menurut perspektif Islam,” katanya.
Pada masa sama, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha menerusi Twitternya turut menyatakan persetujuan berhubung pertemuan bersama Sajat.
Mengenai pelbagai isu termasuk mengaitkan dirinya dengan kekeliruan identiti, Sajat berkata, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab itu sekadar mencemburui kejayaannya dalam bidang perniagaan.
"Saya sedia berjumpa dengan Jakim tapi biarlah ia dibuat secara berhemah. Kalau elok antara kedua-dua pihak, kenapa tidak? 
"Kita boleh berjumpa, tak ada masalah pun. Sajat tahu di pihak yang benar, bukannya buat kerja-kerja yang tidak elok,” katanya.