t>

Breaking News

40 Lelaki Kepung, Serang, Kejar 7 Anggota Polis Di Perlis.

Tujuh pegawai dan anggota polis daerah ini berhadapan detik cemas apabila mereka dikepung dan diugut kira-kira 40 lelaki ketika menahan seorang suspek yang dikehendaki di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis di sini.

Seorang daripada mereka bertindak ganas apabila cuba merempuh anggota polis bertugas dengan motosikal.

Dalam kejadian pada malam Khamis lalu, kumpulan lelaki itu juga merosakkan cermin hadapan dan lampu kenderaan polis.

Tidak cukup dengan itu, enam daripada mereka bertindak mengejar kenderaan polis yang membawa suspek sebelum menerjah masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian pada jam 11.40 malam itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pergi ke sebuah rumah tidak bernombor di Kuala Perlis.

"Pasukan polis yang diketuai seorang pegawai kanan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dikehendaki bersangkut laporan polis atas jenayah yang dilakukan pada tahun lalu.

"Semasa anggota polis membawa suspek masuk ke dalam van sekumpulan lelaki kira-kira 40 orang bertindak mengepung dan mempersoalkan tindakan pasukan polis yang menahan rakan mereka itu," katanya.

Menurut Zaini, akibat tidak puas hati dengan tindakan pasukan polis menahan suspek, rakan-rakannya bertindak diluar jangkaan.

"Van polis dihalang dari bergerak malah kumpulan lelaki terbabit turut merosakkan beberapa bahagian kenderaan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun jelas Zaini, van pasukan polis berjaya keluar dari kepungan dan halangan itu untuk membawa suspek keluar dari kampung terbabit sehingga ke Balai Polis Kuala Perlis.



Gambar Hiasan
Katanya, enam lelaki daripada kumpulan berkenaan bertindak mengejar van dan menerjah masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis.

"Kesemua mereka masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis tanpa meminta pas kebenaran daripada pos pengawal.

"Akibatnya polis yang berada di dalam balai bertindak menahan semua lelaki terbabit yang berusia antara 19 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.

"Dua dari tujuh yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka,"
katanya.

Kesemua mereka direman sehingga 21 Februari bagi siasatan lanjut.


Sumber : Berita Harian