Kenyataan Rasmi SPR Mengenai Dakwat Boleh Padam.

Kepala hotak Soz Cyili on Wednesday, May 1, 2013

BERIKUT adalah kenyataan penuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan bahawa dakwat kekal yang digunakan semasa proses pengundian awal pada Selasa dikesan boleh dipadam. Kenyataan ini dikeluarkan lewat Isnin malam.

1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima maklumat berlaku penyebaran gambar melalui laman sosial mengenai pendedahan oleh seorang pengundi awal bahawa dakwat kekal yang dicalit pada jarinya mudah hilang dengan membasuh jarinya. Gambar jari yang dakwat kekal itu telah hilang dimuat naik dan disebarkan melalui laman sosial. SPR juga telah menerima maklumat bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pemimpin parti politik berkaitan perkara itu.

2. SPR ingin memaklumkan bahawa SPR telah membuat beberapa kali ujian terhadap dakwat kekal itu sebelum ia dibekalkan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Terbukti daripada ujian-ujian itu, dakwat itu kekal bagi tempoh 5 hingga 7 hari.

3. Berikutan dengan laporan polis itu, SPR telah berbincang dan mendapat maklum balas kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan oleh kegagalan sebahagian daripada petugas SPR untuk mematuhi cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal. Sebaik selepas SPR menerima laporan polis dan maklum balas itu, suatu arahan telah dikeluarkan kepada semua petugas SPR untuk mematuhi cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal.

4. SPR juga telah membuat beberapa ujian menggunakan dakwat kekal pada 30 April 2013 terhadap pegawai-pegawai SPR yang telah mengundi secara pos. Sebahagian daripada mereka ini telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang dan sebahagian yang lain pula telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang. Hasilnya, SPR mendapati jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang lebih kekal dakwat itu di jari mereka dibandingkan dengan jari mereka yang dicalit menggunakan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang. Ujian ini dibuat berdasarkan kepada cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal.

5. Sebagai tambahan kepada perkara yang disebut terdahulu, SPR akan mengadakan suatu demonstrasi kepada wakil media pada 2 Mei 2013 untuk menunjukkan bahawa dakwat kekal ini jika dicalitkan pada jari pengundi mengikut cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal, dakwat tersebut akan lebih kekal di jari pengundi. 

6. Walau apa pun kesan dakwat kekal itu, SPR ingin menegaskan bahawa setiap pengundi awal yang telah selesai mengundi pada 30 April 2013 tidak boleh mengundi sekali lagi pada hari pengundian biasa kerana nama mereka tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya bagi pengundi biasa yang akan mengundi pada 5 Mei 2013. 

7. Oleh itu SPR akan meneruskan penggunaan dakwat kekal pada 5 Mei 2013 ini selaras dengan kehendak undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Sekian dan terima kasih.

Datuk Kamaruddin Mohamed Baria
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
30 April 2013

Sumber: http://www.astroawani.com/election/news/show/kenyataan-spr-mengenai-dakwat-boleh-padam-13226

Dengar cerita, ramai geli dengan suara artis yang nyanyi lagu Warisan ni?

 

Followers

Readers