Golongan Pekerja Profesional Luar Negara Anggap Malaysia Berbahaya.


Kita sering diberi gambaran bahawa kadar jenayah di negara ini hanya soal persepsi oleh Menteri Dalam Negeri serta pihak polis.

Namun kita sedar situasi sebenarnya jauh lebih serius – malah bertentangan dengan gambaran yang cuba diberikan oleh pihak berkuasa di Malaysia

Sekiranya persepsi ini lebih mustahak bagi pihak berkuasa di Malaysia, mereka wajar berusaha lebih keras memperbaikinya kerana dalam keadaan semasa, Malaysia di kedudukan kurang baik mengikut pandangan pengunjung dari luar negara yang gusar dengan kadar jenayah di sini.

Menurut numbeo.com, kadar indeks jenayah di Malaysia iaitu pada paras 68.60 menyaksikannya berada di kedudukan ke-17 indeks jenayah sedunia 2014, di bawah Brazil dan Jamaica dan di atas Somalia, Zimbabwe, Colombia, Mexico serta Rwanda.



INDEK JENAYAH BUKAN INDEK SAHAM

Bukan pencapaian yang boleh dibanggakan.

Menurut statistik, kadar jenayah di paras 50 boleh diterima, manakala paras 100 merupakan tahap yang terlalu tinggi. Kini, kita berada sedikit di atas paras yang boleh diterima itu.

Laman tersebut turut menyenaraikan indeks lain – indeks keselamatan, di mana ianya bertentangan dengan indeks jenayah. Lebih tinggi angkanya, lebih selamatlah negara tersebut.

Kita hanya mencatat 31.40 mata bagi indeks ini, berbanding 84.90 bagi Isle of Man, yang dianggap paling selamat di dunia dengan indeks jenayah pada kadar 15.10.

Untuk rekod, numbeo.com merupakan pengkalan data yang yang merekodkan sumbangan daripada orang ramai di serata dunia bagi melakukan analisa statistikal pelbagai isu.

Laman sesawang itu mempunyai halaman berlainan bagi situasi jenayah di bandaraya Kuala Lumpur, dan datanya memberi gambaran suram.

Berdasarkan persepsi para pengunjung ke laman tersebut dalam tempoh tiga tahun yang lalu, halaman tesebut menilai kedudukan pada paras 0 (rendah) dan 100 (amat tinggi).

Tidak mengejutkan, KL tersenarai di kedudukan sederhana bagi 13 perkara yang disenaraikan.

Contohnya, kadar jenayah pada paras 82.81 (mata), peningkatan jenayah dalam tempoh 3 tahun (85.96), kebimbangan akan dirompak (82.39), kebimbangan akan diserang kerana warna kulit, etnik atau agama (50.00), jenayah ganas seperti rompakan bersenjata (81.65) dan korupsi dan rasuah pada paras tertinggi 88.12.

Laman tersebut juga mempunyai ruangan komen, dengan ada di antaranya dibuat pada 2011. Kebanyakannya komen negatif yang dibuat orang tempatan serta expat (golongan pekerja asing professional) yang menetap di sini.

Salah satu komen dari Mr Andrew, seorang warga Amerika Syarikat yang berkahwin dengan orang Melayu. Dia berkata, setelah tinggal di Malaysia selama 15 tahun (di antara 1997 hingga 2012), dia mengambil keputusan pulang ke negara asalnya kerana bimbang dengan kadar jenayah dan kesesakan lalulintas di Malaysia.

“Malaysia pada mulanya bagai syurga namun saya menyaksikannya berubah.

“Keadaan lalulintas menunjukkan pemandu tidak lagi mengamalkan kewarasan dan tidak berupaya tidur malam akibat takut rumah mereka dipecah masuk pencuri. Kehidupan di Malaysia mula berubah bagi saya,” katanya di dalam komen yang dibuat dalam bulan Januari tahun ini.

Pada tahun-tahun terakhir sebelum berpindah, banglo Mr Andrew menjadi seperti sebuah kubu dengan dinding yang tinggi dan sistem keselamatan yang canggih.

“Saya bangun setiap hari dan risaukan tiga perkara – 1) saya atau isteri akan mati kemalangan jalanraya, 2) kami dicederakan di dalam rompakan di rumah atau akibat kemalangan jalanraya, dan 3) saya mungkin membunuh seseorang secara tidak sengaja di jalanraya,” katanya.

Beliau kemudian berkata “Bagi saya, sampai masa pulang ke negara asal. Malaysia masih menawarkan pengalaman menarik, tetapi ia telah berubah. Berhati-hati!”

Seorang lagi yang menggunakan nama “Fedupexpat” menegah pelancong atau pekerja asing profesional dari datang ke negara ini yang dianggapnya “biadap, rasis, korup, pengotor dan kedai makannya berbahaya kepada kesihatan.

“Saya pernah tinggal di Timur Tengah, AS, New Zealand dan Eropah, dan mereka ini memeranjatkan.

“Apabila sesuatu kerumitan berlaku, jangan harap anda akan dibantu pihak berkuasa,” ujarnya yang mendakwa telah tinggal di sini selama 15 tahun.

Inilah antara komen yang memeranjatkan di laman tersebut. Ada juga yang baik tentunya, seperti negara yang “peramah” dan mengalu-alukan kehadiran anda tetapi impaknya tidak serupa dengan yang bersifat negatif.

Dengan persepsi sebegini berlegar di atas talian, sudah tiba masanya pihak berkuasa menangani isu keselamatan di Malaysia. Jangan berdiam diri kerana bukan sahaja rakyat Malaysia yang kecewa, pengunjung juga kian mempersoal imej negara kita.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/

Share this :

Previous
Next Post »