Saya Sepatutnya Naik Pesawat #MH17 - Anak Sejarawan Terkenal.
Anak sulung kepada sejarawan terhormat, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim adalah antara penumpang yang sepatutnya menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia.
Aktivis budaya dan penulis bebas, Eddin Khoo sepatutnya menaiki pesawat itu untuk pulang ke tanahair selepas menyaksikan bolasepak Piala Dunia 2014 di Brazil bersama dua orang rakannya. "Saya sepatutnya terbang laluan KL-Amsterdam-Rio; Rio-Amsterdam-KL. "Penerbangan yang ditempah untuk balik ialah MH17, berlepas dari Amsterdam (pada) 17.07.2014.
"Tiket dan invois penerbangan itu masih saya simpan," tulis Eddin di Facebook. Eddin, 44, bagaimanapun membatalkan kunjungan ke Brazil itu kerana beberapa hal termasuk masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.
"Saya telah melalui banyak pengalaman di luar alam nyata sepanjang hidup saya tetapi yang satu ini membuatkan saya terpempan," katanya. Eddin turut merakamkan takziah, ingatan dan doa kepada keluarga semua korban nahas penerbangan MH17.
"Tiada apa yang dapat digambar dengan kata-kata," tambahnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan awalnya selepas nahas itu menyifatkan kejadian ini sebagai "satu hari tragik dalam tahun yang sudah cukup tragik bagi Malaysia." Ini adalah nahas kedua melibatkan MAS dalam masa tidak sampai lima bulan.
Pesawat penerbangan MH17 ini adalah pesawat jenis Boeing 777-200ER, model yang sama dengan pesawat penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang pada 8 Mac lalu dan sehingga ini masih gagal dikesan.