Mesti Baca - Bagaimana Polis Menggunakan Kuasa Untuk Menakutkan Rakyat!


Serahan memorandum oleh ahli keluarga Ali Abd Jalil kepada SUHAKAM pada 17/09/2014, menuntut agar keselamatan Ali dijamin dan proses siasatan dilakukan mengikut prosedur undang-undang, jika Ali ditangkap semula oleh Polis Johor.

Kebimbangan ahli keluarga adalah berdasarkan pengalaman buruk semasa Ahmad Abd Jalil (kembar Ali) ditahan Polis Johor pada November 2012 di bawah Akta Hasutan, juga atas tuduhan menghina institusi istana.

1) Ahmad ditangkap di Wangsa Maju pada jam 7 malam oleh sepasukan lima buah kereta polis dan terus dibawa secara tergesa-gesa ke Johor Bahru pada jam 3 pagi.

2) Ahmad tidak dimaklumkan apa pertuduhan ke atas beliau. Cuma diberitahu tentang siasatan di bawah Akta Hasutan yang melibatkan Sultan Johor.

3) Ahmad langsung tidak dibenarkan membuat walau satu panggilan telefon kepada ahli keluarga atau peguam sepanjang 6 hari ditahan, walaupun beliau berulang kali meminta haknya.

4) Ahli keluarga langsung tidak dimaklumkan apa-apa tentang nasib Ahmad sepanjang 6 hari dalam tahanan. Walaupun ibu bapa kami berada di Johor Bahru sepanjang tempoh itu dan bertanya dari satu balai polis ke balai polis yang lain, namun tiada siapa boleh memberi maklumat. Ketika kami bertemu dengan Timbalan Ketua Polis Johor, beliau pun tidak mahu memberitahu apa-apa.

5) Keluarga kami diberi amaran bahawa tindakan kami mengambil peguam dalam kes Ahmad akan memburukkan lagi keadaan.

6) Ahmad diletakkan berseorangan dalam sel berukuran 8 kaki X 4 kaki dengan sedikit lubang cahaya. Menurut pegawai lokap, lokap itu hanya untuk tahanan kes jenayah berat seperti bunuh, mengedar dadah, senjata api dan "kes-kes khas".

7) Setiap kali dibawa ke mana-mana, baik di dalam kereta polis, mahupun dari sel ke bilik soal siasat, cermin mata Ahmad akan ditanggalkan dan mata Ahmad ditutup (blindfolded). Ahmad langsung tidak tahu ke mana beliau dibawa dan di mana beliau berada.

8) Soal siasat dilakukan dari pagi hingga lewat petang berulang kali dengan bertanyakan soalan yang sama. Malah Ahmad pernah disoal siasat oleh hampir tiga puluh (30) orang dalam satu bilik, yang mana tidak semua adalah anggota polis (adakah ini penglibatan pihak tertentu dalam proses siasatan?).

9) Proses soal siasat dilakukan secara kasar dan penuh intimidasi. Malah seorang pegawai polis pernah menunjukkan pistol kepada Ahmad.

10) Ahmad ditawarkan untuk selesai kes dan semua tuduhan digugurkan, dengan cara mengaku salah dan dibawa ke istana menghadap Sultan untuk mohon ampun.

11) Pada hari terakhir sebelum tempoh reman tamat, Ahmad telah ditipu bahawa ibu kami sedang bersedih dan merayu-rayu agar Ahmad hanya mengaku salah untuk kebaikan semua. Kerana tipu daya inilah Ahmad telah menandatangani pengakuan bersalah kerana menghina Sultan.

12) Semasa dalam tahanan Polis Johor, Ahmad telah dibawa secara rahsia dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dengan konvoi lima buah kereta polis dari balai-balai polis berbagai daerah seluruh Johor dengan tujuan mencari bukti. Perkara ini langsung tidak dimaklumkan kepada mana-mana ahli keluarga atau peguam.

13) Keluarga kami yang berada di Johor Bahru sepanjang Ahmad ditahan telah diganggu oleh lelaki-lelaki berpakaian biasa, selalunya T-shirt berwarna merah, yang sentiasa mengekori, mengawasi dan mengambil gambar kami.

14) Satu insiden gangguan untuk menakutkan ahli keluarga kami bila mana polis dari Johor Bahru telah datang ke rumah kami di Klang, Selangor pada jam 6 pagi. Kononnya untuk membawa kakak Ahmad ke balai polis bagi merekodkan kenyataan. Setelah dicabar, memandangkan tiada anggota polis wanita turut serta untuk membawa kakak Ahmad, lebih-lebih lagi adalah salah di sisi undang-undang untuk merekodkan kenyataan pada jam 6 pagi, polis berkenaan minta untuk buat penggeledahan dalam rumah kami tanpa sebarang waran.

15) Keluarga kami hanya mengetahui bahawa Ahmad akan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan melalui seorang wartawan akhbar berbahasa Cina. Tiada seorang pun pihak polis memaklumkan kepada kami, walaupun berulang kali kami berhubung dengan pegawai penyiasat (IO). Peguam Ahmad, Tuan Radzlan Jalaluddin, terpaksa bergegas ke Johor Bahru dari Shah Alam apabila kami maklumkan mengenai perkara ini.

Maka atas dasar inilah keluarga kami enggan membenarkan peristiwa hitam yang menimpa Ahmad berulang ke atas Ali. Memandangkan kes ini melibatkan isu sensitif terhadap institusi istana, kami bimbang proses siasatan akan dipengaruhi oleh pihak luar yang berkepentingan.


Sumber : Asiah Abd Jalil.

Share this :

Previous
Next Post »