MAZA Betulkan Salah Faham Hukum Merotan Dalam Pendidikan Islam.


ISLAM DAN MEROTAN ANAK.

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ada pihak cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah mengenai kesantunan dan kerahmatan Islam itu sendiri. Lebih buruk lagi kenyataan itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang ganas. 

Saya ingin menyebut beberapa perkara dalam merotan anak di sini;

1. Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh hikmah (wisdom) dan contoh teladan yang baik. Inilah isyarat al-Quran dalam Surah al-Isra ayat 24 ketika mengajar kita berdoa untuk ibubapa dengan doa: “Katakanlah: wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) SEPERTI mana mereka membesarkanku semasa kecil”.

Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh al-Quran tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak (bringing up process) yang menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy). Justeru, hanya ibubapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat bahagian dari doa ini. Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang sama mengingatkan ibubapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.

2. Adapun hadis tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul. Di sana juga ada ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 34) yang menyebut tentang memukul isteri, apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami yang suka memukul isteri?! Ayat itu berkaitan isteri yang nusyuz (derhaka) setelah segala proses pendidikan yang baik gagal. Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab menunaikan segala kewajibannya di sudut nafkah zahir dan batin. Pukulan pula dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serious tetapi sekadar memberikan amaran tentang kesungguhan maksud suami. Hanya dalam suasana sebegitu di samping suami dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang disebutkan tadi.

3. Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh setelah melalui proses yang panjang. Sabda Nabi s.a.w: “Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Maka, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat. Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan.Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serious.

4. Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama. Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.

5. Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan factor penting pendidikan insan itu sendiri iaitu; kejelasan arah dalam pembentukan anak, teladan yang baik dan suasana yang membina. Inilah tiga factor penting yang telah dimusnah oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu kedangkalan yang nyata.

6. Jika ada ibubapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serious, maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai satu jenayah untuk diambil tindakan.

Share this :

Previous
Next Post »