t>

Breaking News

Ketua Pemuda MCA Bodoh, Biadap & Tersasar - Marah Bekas Ketua Pemuda UMNO.


Kumpulan mantan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menyelar tindakan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang mempersoalkan kesesuaian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai anggota kabinet.
Bekas Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Datuk Zulkifli Alwi yang mewakili kumpulan tersebut berkata, gesaan supaya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu melatakkan jawatan jelas menunjukkan kebiadaban Ketua Pemuda MCA itu yang tidak menghormati rakan komponen Barisan Nasional (BN).
Menyuarakan kekesalannya, beliau juga menegaskan bahawa pelantikan menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, “Siapa dan apa hak Sin Woon untuk mempertikaikannya,” tanya beliau.

“Kami menganggap kenyataan tersebut sebagai ‘bodoh, biadab dan tersasar’,” katanya pada satu sidang media ‘Solidariti untuk Ismail Sabri’ yang dianjurkan bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri berikutan polemik isu harga barangan di PWTC.

Tegas beliau, kepimpinan MCA tidak seharusnya bertindak sedemikian kerana kenyataan Ismail Sabri berkaitan isu harga barangan adalah bertujuan membela nasib rakyat, yang mana harga barang harus diturunkan sejajar dengan pengurangan harga minyak.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan supaya memboikot golongan peniaga yang tidak menurunkan harga barangan sejajar dengan penurunan harga minyak. Beliau juga menegaskan kenyataan berkaitan isu boikot itu bukan ditujukan kepada semua kaum Cina tetapi kepada pemborong dan peniaga Cina yang masih tidak mahu menurunkan harga.

Sementara itu, Chong dalam kenyataannya pula membidas kenyataan Ismail Sabri dengan menyatakan untuk memboikot perniagaan Cina adalah kenyataan kurang bijak dan menegaskan bahawa Ahli Parlimen Bera itu hanya membuat kenyataan peribadi dan bukan pendirian Kabinet serta BN.

Zulkifli seterusnya berkata, MCA sebelum ini banyak bergantung kepada ihsan ahli UMNO dalam menguatkan lagi sokongan mereka dalam BN.

“Kami tidak menerima, Pemuda MCA tergamak senada dengan pembangkang yang merupakan seteru politik UMNO dan BN.

“Malah hari ini, sekali lagi tertonjol kebiadaban Ketua Pemuda MCA, menyebabkan ramai ahli UMNO yang terguris hati,” ujarnya lalu menegaskan bahawa kedudukan MCA dalam komponen BN perlu dikaji semula berikutan kenyataan berbaur kecaman yang dikeluarkan pemimpin parti berkenaan.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Ismail Sabri yang sempat beramah-mesra dengan para penyokongnya ~ FreeMalaysiaToday