t>

Breaking News

Bapa Teranjang Anak Ketika Bersolat Akhirnya Dihukum Penjara - Padan Muka!

Tindakan seorang pengawal keselamatan yang menyepak anaknya berusia lapan tahun yang hendak menunaikan solat hari ini dibalas dengan hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini.
Majistret Zuraini Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasrol Azhar Rahmat, 36, setelah dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, 14 Jan lepas.
Ketika menjatuhkan hukuman, Zuraini sempat menasihati Hasrol Azhar supaya mengambil pengajaran atas apa yang berlaku.
“Saya memandang berat kes ini kerana setiap hari ada kes dera anak yang dibawa ke mahkamah. Walaupun anak sendiri tidak boleh pukul,” katanya.
Hasrol Azhar didakwa mendera anak sulungnya, Mutafin Azman, 8, dengan menyepak mangsa di sebuah rumah pangsa, Wangsa Maju di sini, kira-kira pukul 7.19 malam, 3 Dis lalu.
Tertuduh yang turut mempunyai dua lagi anak berusia empat dan dua tahun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, tertuduh menyepak anaknya menggunakan kaki sewaktu mangsa hendak membentang sejadah bagi menunaikan solat Maghrib.
Perlakuan itu diketahui kakak tertuduh, Rabayah Rahmat, 38, pada 5 petang, 7 Jan lepas yang kemudiannya turut dimaklumkan oleh mangsa bahawa dirinya sering didera tertuduh.
Mutafin Azman kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut, manakala bapanya ditangkap pihak polis.
Ketika rayuan, tertuduh, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan selain memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan yang dilakukannya.
“Saya juga mahu mohon hukuman ringan kerana anak-anak sedang menunggu saya di luar sana,” katanya, lapor Bernama.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar tertuduh insaf selain dapat menjadi iktibar kepada masyarakat. -FMT.