100 Juta Yg Hilang Dalam KBS - TMJ Sindir Siapa Tu?

KEPADA MENTERI BELIA DAN SUKAN, FAM DAN PENYOKONG BOLASEPAK TANAH AIR, TIBA MASANYA UNTUK BERUBAH
Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan yang mengatakan bahawa pemain bolasepak tempatan kita kurang berkualiti. Saya mohon difikirkan semula. Anda sebagai Menteri Sukan perlu bertanggungjawab untuk memperbaiki masalah ini. Antara perkara yang tidak berkualiti adalah beberapa menteri-menteri kita dan persatuan persatuan yang hanya tahu menuding jari dan menyalahkan orang lain tanpa pernah mengambil sikap bertanggungjawab atas kesalahan tersebut. Individu yang hanya memikirkan diri mereka sama seperti persatuan-persatuan yang tidak bertanggungjawab. Saya berikan anda contoh berdasarkan fakta dan rekod daripada pasukan teknikal kelab kami. Apabila kami memenangi Piala AFC dan Liga Super pada tahun lepas, 60% daripada gol dijaringkan oleh pemain tempatan. Idea yang digunakan oleh JDT adalah mengutamakan pemain tempatan dan meningkatkan kebolehan mereka. Ini adalah pemain sama yang gagal beraksi cemerlang untuk pasukan kebangsaan. Mengapa? Tanya diri sendiri dan lakukan penyelidikan sendiri. Ia bukannya pemain. Ia adalah organisasi. Orang-orang dalam organisasi yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mendidik pemain dan melaksanakan budaya profesionalisme.
Saya sudah memberitahu anda semua banyak kali bahawa kita semua perlu duduk dan berbincang apakah cara terbaik untuk kita meningkatkan pasukan kebangsaan kita dan bolasepak di negara ini. Tetapi semua orang lebih mementingkan poket mereka sendiri dan sudah terlalu selesa. Tiada siapa yang benar-benar mengambil berat tentang bolasepak kita. Anda sebagai menteri perlu mengadakan mesyuarat dan memastikan FAM dan kelab-kelab yang mengambil bahagian agar memainkan peranan yang lebih besar dalam meningkatkan lagi sukan bolasepak. Pertama, FAM perlu memberikan lebih hak penyiaran kepada semua pasukan yang bertanding di Malaysia dan tidak menyimpan sebahagian daripada hasil tersebut untuk diri mereka sendiri. Kedua, FAM perlu konsisten dalam membuat segala keputusan mereka. Ketiga, mereka perlu menggunakan kepakaran asing dan tidak terlalu sombong demi kebaikan mereka. Akhir sekali, melaksanakan program pembangunan belia dan mewajibkannya kepada semua kelab-kelab di Malaysia.
Tanggungjawab, integriti dan perpaduan akan membawa kita ke arah kejayaan. Bukan sentiasa memberi alasan. Kita boleh menyalahkan pemain, kelab, FAM, penyokong tetapi itu tidak menyelesaikan apa-apa. Untuk menyelesaikan masalah, kita perlu mengenal pasti masalah tersebut dan kami telah pun melakukan cara sedemikian. Sekarang saya telah berikan langkah penyelesaian yang mungkin dapat membantu memperbaiki bolasepak negara kita. Kita tidak harus hanya bergantung semata-mata kepada Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN). PPBN adalah baik, tetapi sewaktu kita membina asas untuk masa hadapan, kita juga perlu memberikan tumpuan dalam memperbaiki masalah yang kita ada hari ini.
Jika kita semua tidak memperbaikinya sekarang, ia akan terus menjadi masalah untuk masa hadapan. Kita semua bertanggungjawab atas kegagalan bolasepak negara kita. Sekarang kita mempunyai pilihan. Untuk membaikinya atau membiarkannya. Pilihan terpulang kepada anda. Saya hanya berkongsi pendapat ikhlas saya untuk negara kita. Ini adalah apa yang penyokong bola sepak di negara ini mahu. Demi rakyat Malaysia yang sayangkan bolasepak dan pasukan kebangsaan, saya ada satu nasihat untuk Menteri Belia dan Sukan, FAM dan Persatuan Bola Sepak. Nasihat saya kepada anda adalah, berikan kepada mereka apa yang mereka mahu. Berikan apa yang mereka mahu. Ini kerana jika anda tidak mempunyai apa-apa kebolehan untuk memperbaiki sistem Zaman Batu ini dan jika anda tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk membawa perubahan yang positif, maka anda tidak patut duduk di mana anda berada sekarang.
Kita mahu orang orang yang boleh menyumbang kepada bolasepak negara kita. Kita perlukan aset, bukan liabiliti. Kepada mereka yang hanya tahu bagaimana memakai sut tetapi tidak berupaya untuk melaksanakan apa-apa. Sila berundur sekarang. Masa adalah emas. Akhir sekali, mengapa saya mengambil berat? Bolasepak bukan sumber pendapatan saya. Saya boleh berada di mana-mana saya mahu di dunia ini dan menikmati kehidupan saya, tetapi mengapa saya ada di sini menyuarakan mengenai bolasepak atau politik? Ia adalah kerana saya berkhidmat kepada rakyat. Tanggungjawab saya adalah untuk mendengar suara mereka. Mungkin sudah tiba masanya untuk "orang besar" di Negara ini untuk melakukan perkara yang sama kerana ini adalah rumah kita. Jika ianya kotor, ia adalah tanggungjawab kita untuk membersihkannya. Hentikan mencari alasan.
Dan sebelum saya lupa, dalam hal RM100 juta hilang dari KBS, saya akan amat berbesar hati jika anda boleh menderma seberapa yang ada untuk JDT. Itupun jika masih ada baki. Terima kasih diucapkan kepada "orang-orang besar dan penting" Malaysia.
DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Share this :

Previous
Next Post »