t>

Breaking News

Kagum, Seronok Jadi Peguam Negara & Bercakap Ikut Sunnah Nabi Kata Apandi Ali.

 
Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengakui beliau kagum dan terkejut dengan dirinya yang boleh bertahan sepanjang lapan bulan memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

Menceritakan pengalaman sepanjang tempoh itu, Apandi berkata, menduduki kerusi tersebut bukanlah sesuatu yang teruk seperti yang disangka.

Meskipun dikritik, beliau tetap berasa seronok dengan jawatan itu ekoran minatnya terhadap sesuatu yang mencabar, katanya yang dipetik dari laman portal Malaysiagazzette.

“Saya mengambil cabaran ini dan akan sentiasa sukakan cabaran.

“Saya beritahu diri dan orang lain, selagi tugas yang diambil melibatkan undang-undang, bidang yang amat saya suka, sudah tentu saya berminat,” katanya ketika sesi soal jawab pada Luncheon Talk bertajuk ‘Media dan Undang-Undang: Perspektif Negara’ bersama pengamal media. Majlis itu dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI).

Menjelaskan mengapa beliau terpaksa berhati-hati untuk memberi sebarang kenyataan kepada pengamal media, Apandi yang sebelum itu merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, ia disebabkan beliau mahu mengelak sebarang kontroversi dan lebih senang untuk tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat kepadanya.

“Untuk itu saya mengikut sunnah Nabi iaitu kita bercakap apabila perlu sahaja. Saya cakap dan komen apabila ia perlu sahaja. Walaupun anda hubungi saya beberapa kali, saya masih enggan memberi ulasan, maafkan saya,” ujarnya.

Pada sesi itu, Mohamed Apandi ditanya pandangannya bagaimana menangani tuduhan salah lapor atau kenyataan yang ditulis di luar konteks kepada pengamal media, beliau berkata, media boleh menyaman pihak yang menafikan kenyataan mereka jika ada bukti.

“Anda mempunyai remedi undang-undang, saman mereka. Sekali sekala kamu juga perlu memberi pengajaran kepada mereka juga.

“Kadang-kadang kena ajar mereka. Saya juga tidak suka kepada orang yang bercakap bohong, apabila kenyataan itu secara jelas direkod, apa yang dia cakap, apa yang ditulis oleh wartawan tetapi dia nafi. Bawa dia ke mahkamah,” tambahnya. - FMT.