Pengarang NST Letak Jawatan, Enggan Nyata Sebab Berhenti Kerja.


Pengarang kumpulan News Straits Times (NST), Mustapha Kamil Mohd Janor disahkan telah meletakkan jawatan namun tidak mengulas lanjut berhubung tindakannya itu.
Mustapha menamatkan tempoh perkhidmatannya selama 26 tahun dengan akhbar berbahasa Inggeris itu hujung bulan ini.
“Ya, benar, Saya telah meletakkan jawatan, berkuat kuasa hujung bulan ini,” ujar beliau kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa keputusannya itu ada kaitan dengan tuduhan "campur tangan" dalam jabatan pengarang, wartawan veteran itu tidak mahu mengulas.
“Tiada sebab. Saya hanya mengesahkan saya telah letak jawatan,” jelasnya.
Menurut profil awamnya, Mustapha menyertai NST sebagai pelatih pada 1989, sebelum diambil bekerja sebagai wartawan kadet Business Times.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai koresponden luar negara NST di New York mulai 1999 hingga 2002.
Sebelum jawatan semasa, beliau pernah menjadi pengarang urusan Business Times dan bahagian Lifestyle.
Pengunduran wartawan veteran
Peletakan jawatan oleh Mustapha Kamil dibuat sejurus selepas Berita Harian - penerbitan lain di bawah kumpulan NSTP - menghentikan kolum yang dikendalikan Abdul Kadir Jasin yang diberi nama ‘Kunta Kinte Original’.
Abdul Kadir, yang mana penulisannya disifatkan sebagai terlalu kritikal terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, pernah mengatakan ada “kuasa lebih besar” yang mampu menolak cubaan Berita Harian untuk mempertahankan kolumnya.
Awal tahun ini, Ku Seman Ku Hussain, meletakkan jawatan sebagai pengarang Mingguan Malaysia, menamatkan kerjaya 32 tahunnya bersama Kumpulan Utusan Lapor Malaysiakini.

Share this :

Previous
Next Post »