Hadi Memang Ada Niat Nak Jadi PM - Lim Kit Siang.


Ketua ahli-ahli parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu menjadi Perdana Menteri tatkala Pakatan Rakyat menuju pilihan raya umum tahun 2013.
Justeru, apabila DAP dan PKR tidak menyokong keinginan beliau itu, adalah tidak mengejutkan apabila Abdul Hadi menyebelahi Umno walaupun jika itu bermakna menutup mata kepada salah laku yang didakwa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.
"Beliau tidak memberi manfaat kepada Pakatan Rakyat dan memutuskan untuk membawa lapangan politik baru buat PAS yang diketuai oleh beliau dengan bertindak sebagai 'penasihat' kepada Najib selaku presiden Umno dan perdana menteri walaupun terpaksa 'membutakan' mata dalam dua skandal global Najib yakni 1MDB bernilai RM55 bilion dan 'derma' RM4.2 bilion.
"Dalam keadaan ini, bukahlah suatu kejutan apabila Hadi tidak berminat untuk menggasak Najib walaupun bekas Perdana Menteri, (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) bertemu beliau tiga bulan lalu untuk menjelaskan mengenai 'salah laku' Najib," kata Lim dalam kenyataan, hari ini.
Pakatan Rakyat berpecah pada Jun tahun lepas selepas keretakan antara DAP dan PAS berhubung isu hudud.
Najib pula sekeras-kerasnya menafikan sebarang salah laku dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pula memutuskan untuk tidak mengenakan apa-apa dakwaan terhadapnya.
Kenyataan Lim hari ini merujuk kepada pendedahan Mahathir semalam bahawa beliau pernah menemui Hadi mengenai dakwaan salah laku Najib tetapi melihat Hadi hanya berminat soal 'dedak' - Malaysiakini.

Share this :

Previous
Next Post »