Haram Bayar Zakat Terus Kepada Asnaf Kata Harussani - Ini Teguran 'Makan Dalam' Dari Ustaz Maza.
Sebelum ini mufti Perak telah mengeluarkan satu kenyataan bahawanya umat Islam dilarang dari membayar zakat terus kepada asnaf disebabkan perbuatan tersebut haram.
Ketika ini satu kempen berkenaan bayar zakat sendiri sedang giat disebarkan di laman-laman sosial dan ianya mendapat sambutan mengalakkan dari umat Islam. Kempen itu sebenarnya telah bermula pada tahun lepas namun ianya semakin mendapat sambutan pada tahun kedua dan mungkin akan lebih mendapat sambutan pada tahun-tahun seterusnya memandangkan jumlah penyertaan mereka yang mahu membayar zakat sendiri kepada asnaf semakin meningkat.
Malahan hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Astro Awani baru-baru ini juga menunjukkan satu trend di mana umat Islam telah mula hilang kepercayaan secara berdikit-dikit ke atas pusat-pusat institusi zakat negara (negeri).
Berikut ialah hasil kaji selidik yang
dimaksudkan ;
Melihatkan kepada trend yang menakutkan institusi-institusi pusat zakat Malaysia, mufti Perak mengeluarkan kenyataan bagi membendung dan menyekat umat Islam daripada tindakan membayar zakat terus kepada asnaf.
Berikut adalah kenyataan mufti Perak yang dipetik menerusi Bernama ;
Umat Islam diminta tidak membayar zakat secara terus kepada asnaf kerana perbuatan itu hukumnya adalah haram, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk membayar zakat kepada pusat zakat yang dilantik oleh kerajaan di setiap negeri.
“Mengikut hukum syarak, apabila ada satu badan yang telah dilantik kerajaan untuk mengumpul zakat fitrah dan harta, setiap orang wajib mengeluarkan zakat kepada badan tersebut.
“Ini kerana badan itu telah diperintahkan supaya mencari dan mengumpulkan para asnaf yang ada untuk disampaikan secara adil hasil zakat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada 300 fakir miskin dan sumbangan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) oleh Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng di sini hari ini.
Setiap fakir miskin menerima sumbangan RM200 dan wakil bagi setiap 10 masjid di daerah Kerian menerima RM2,000.
Dr Harussani mengulas berhubung isu viral di Facebook di mana sebanyak 70 peratus orang ramai bersetuju membayar zakat terus kepada asnaf manakala 30 peratus lagi kepada badan pungutan zakat.
Menurut beliau, pembayaran seperti itu hukumnya tidak sah dan dikhuatiri asnaf yang menerima itu layak atau tidak menerima zakat.
“Pendapat seperti ini salah kerana MAIPk memberikan zakat secara adil kepada asnaf yang layak menerima zakat. Pegawai kita masuk kampung untuk mengesan asnaf yang layak menerima zakat dan gaji mereka kita ambil dari bahagian amil dan bukan dari asnaf,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 24,936 asnaf menerima zakat dari MAIPk setiap tahun.
Selain itu, Dr Harussani berkata MAIPk telah membina dan membaik pulih lebih 600 rumah kepada asnaf di setiap daerah negeri ini yang membabitkan sejumlah RM12.6 juta pada tahun lalu.
“Jumlah itu dijangka meningkat kepada RM14 juta pada tahun ini. Setiap sebuah rumah yang dibina mempunyai tiga bilik dengan kos RM48,000 dan RM40,000 bagi rumah dua bilik,” katanya.
MAIPk memperuntukkan lebih RM20 juta bagi bantuan bulanan kepada fakir miskin yang tidak berupaya untuk menyara kehidupan mereka, katanya.
Beliau berkata MAIPk menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM160 juta pada tahun ini berbanding RM140 juta, tahun lalu.
“Sehingga semalam, kita sudah mengutip RM70 juta zakat dan sudah mengagihkan lebih RM80 juta kepada asnaf di negeri ini,” katanya.
Dan ini pula respon dari Dr. Maza ;
Satu teguran yang mengambilkira akan kemarahan rakyat yang berpunca dari institusi-institusi zakat itu sendiri. Cara pentadbiran dan urus-selia mereka yang kurang cekap menyebabkan rakyat semakin bosan dengan peranan institusi zakat apatah lagi hampir setiap hari berita kemiskinan umat Islam dipaparkan di media-media. Jangan hanya tahu mengeluarkan hukum haram ke atas rakyat jika pentadbiran korang sendiri pun bermasalah. Bersikap adil la dalam berhukum.
Sekian.