t>

Breaking News

Isu Pedofilia - Ini Kenyataan Media AMANAH.

KENYATAAN MEDIA PEMUDA AMANAH PERAK TENTANG ISU JENAYAH PEDOFILIA

1. Pemuda AMANAH Perak memandang serius isu penangkapan seorang pedofilia Richard Huckle yang dijatuhkan pertuduhan melakukan 71 jenayah seksual dengan kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 12 tahun di United Kingdom. Antara kanak-kanak yang terlibat pula adalah kanak-kanak miskin di Malaysia.

2.Sekitar tahun lepas, seorang pelajar Malaysia di universiti terkemuka dunia telah ditahan di London atas kegiatan memuatnaik dan memuatturun gambar-gambar lucah kanak-kanak di dalam deep web. Sekiranya kita masih ingat kisah almarhum adik Nurin Jazlin dan adik Nurul Huda ia juga melibatkan serangan pedofilia.

3. Beberapa hari yang lepas pula, Syed Azmi seorang aktivis sosial telah berkongsi akan kewujudan satu kumpulan di Telegram yang mempunyai lebih 700 orang pedofilia berkongsi gambar kanak-kanak dan bersembang secara lucah di dalam kumpulan terbabit

4. Pemuda AMANAH Perak menyedari isu pedofilia ini berakar umbi di dalam masyarakat kita tetapi masyarakat kurang arif tentang pedofilia sehinggakan menyangka ubat penyakit ini adalah dengan perkahwinan.

5. Pemuda AMANAH Perak menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan yang lebih proaktif dan serius dengan mengenakan tindakan hukuman yang serius dan setimpal dengan perbuatan golongan pedofilia ini. Hukuman penjara dan rehabilitasi perlu dilakukan tanpa ada kompromi. Meskipun ada di antara mereka selepas ini mungkin akan berhenti daripada melakukan jenayah ini setelah dikenakan hukuman, kerajaan perlu mewujudkan 'sex offender list' supaya golongan ini tidak dibenarkan hampir di tempat-tempat di mana ada golongan kanak-kanak di situ, contohnya berdekatan sekolah, dan tidak dibenarkan bekerja dalam sektor yang melibatkan kanak-kanak.

6. Masyarakat juga perlu dididik untuk mengenalpasti golongan pedofilia ini, dan juga dididik tentang keselamatan di media sosial, contohnya perkongsian gambar anak-anak (tidak berbaju dan sebagainya), tidak dikongsikan sewenang-wenangnya di khalayak pengguna laman sosial kerana kita sendiri tidak mengenali mungkin ada di antara rakan di laman sosial sendiri adalah seorang pedofilia.

7. Dengan kemajuan teknologi maklumat yang semakin canggih, Pemuda AMANAH Perak sangat mengharapkan setiap pihak agar cakna tentang isu ini sebelum ia membarah dan merosakkan anak bangsa kita. Tindakan tegas wajar diambil!

Dr Mohammad Tazli Azizan
Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak