Disebalik Kontroversi Pokemon Go, Ada Hikmahnya Yang Tersembunyi.


HIKMAH POKÉMON GO

"Nak main, main jelah" - kata seorang sahabat secara sarkastik.

"Ittaqullah ya akhi! Adakah Pokémon Go ini boleh tambah iman?" - kata seorang ustaz.

Saya urut dada saya sambil tersenyum 
Apakah mereka benar-benar memahami qaedah fiqh (الأمور بمقاصدها - semua perkara itu bergantung kepada tujuannya) di sebalik kesungguhan saya mengulas perihal Pokémon Go?

Sungguh bagi akal sepet, mereka akan terus melihat saya ini seolah-olah mencabar Mufti. Hampir saja dilonggokan saya sekali dengan geng liberal, sekular.

Sebenarnya saya bukan nak cakap pasal Pokémon atau Pokémon Go apatah lagi saya bermain-nya seperti adik-adik di bangku sekolah.

Saya cuma ingin menilai semula satu dogma seolah-olah keputusan dan justifikasi "ṣadd al-dharāʿī" (blocking the means) mesti berkahir dengan arahan taḥrīm (pengharaman/'ban') - seolah-olah logiknya mesti itu dan tidak yang lain.

Mari sini saya nak kongsi sudut pandang lain yang lebih positif yang dapat dimanfaatkan dan mencapai maqasid yang murni daripada sekadar hiburan yang lagha.

Saya berminat dengan Pokémon Go bukan sangat kerana permainan itu tapi teknologi dan "mechanics" yang melatari permainan itu.

Ini kerana permainan Pokémon Go ini disifatkan sebagai permainan "location based augmented reality (AR)" yang memanfaatkan tekonlogi sehari-harian yang kita guna dalam Waze, Google Maps iaitu Global Positioning System (GPS). Bukan itu saja malah sebenarnya GPS hanyalah apa yang zahir dan dicerap oleh pengguna, yang lebih penting ialah apa digunakan oleh Niantic, pereka Pokémon iaitu satu teknologi yang dipanggil Geographical Information System (GIS).

GIS seperti yang tertera pada gambar artikel ini adalah suatu teknologi yang saya pernah guna untuk saya siapkan disertasi tahun akhir saya selaku pelajar Kejuruteraan Kimia (takhassus dalam Kejuruteraan Industri Alam Sekitar).

Saya bukan pakar GIS tapi dalam setahun saya nak siapkan disertasi Projek Tahun Akhir saya itu saya banyak belajar jugalah selok-belok dan kegunaan GIS dalam kehidupan seharian. Dalam disertasi saya ini, saya guna GIS untuk petakan pencemaran udara agar dapat saya manfaatkan data-datanya bagi tujuan kajian dan pembaik pulihan pembebasan asap (smog) pada kilang-kilang atau kenderaaan yang lalu lalang pada sesuatu kawasan.

Apa kaitan GIS dan Pokémon Go? Ya kalau yang dah main Pokémon Go, ketika mana Pokémon tertentu tiba-tiba terjelma (spawned) di tempat-tempat tertentu seperti kalau nak tangkap Magikarp kena pergi dekat kawasan ada air, kalau Caterpie pada kawasan ada pokok atau penempatan Pokestop dan Gym semua data mentah yang memungkinkan koordinasi penjelmaan objek-objek AR mestilah diproses oleh GIS.


Jadi sebenarnya Pokémon Go memang ada sisi lagha, pada masa yang sama ada juga sisi pendidikan yang berguna (yang dibuat secara seronok untuk pendedahan awal kepada kanak-kanak) kalau mana dijelaskan dan dikaji teknologi GIS dibalik Pokémon Go.

Kalau kita perhati fatwa dan irsyad yang dikeluarkan Jabatan Mufti dibeberapa buah negeri bernada seperti "blanket ban", sebenarnya ada sisi lain yang boleh digunakan dalam ruang lingkup تقليل المفاسد (reducing the harm) kalau KITA TAHU BAGAIMANA NAK KAWAL permainan ini dan jadikannya WASILAH pendidikan agar anak-anak kita yang BORING BELAJAR di sekolah kembali seronok "discover" ilmu sains dan teknologi melalui Pokémon Go.

Tanpa dinafikan langsung isu-isu keselamatan dan privacy, ada banyak kebaikan yang boleh diteroka kalau mana yang mengkaji itu benar-benar manfaatkan qaedah fiqh (الحكم على الشيء فرع عن تصوره - "hukum atas sesuatu itu bergantung kepada gambaran-nya yang tepat).

Kalau kita boleh buang, kawal dan kurangkan ʿillah (ratio legis) pengharaman Pokémon Go, maka ianya boleh saja pada hemat saya ditukarkan sifat Pokémon Go itu daripada permainan lagha menjadi wasilah dan alat bantuan pendidikan interaktif untuk belajar ilmu geografi, biologi, alam sekitar, fizik, kimia juga mengajar semangat berpasukan.

Di sini saya sertakan beberapa capaian yang mengajar kita bagaimana mahu manfaatkan Pokémon Go untuk pendidikan khusus melibatkan pendedahan kepada teknologi GIS kepada pelajar sekolah yang ingin berjinak-jinak dengan Geografi, Big Data, dan Geo-Spatial Intelligence:

1 - "Pokemon Go Strategy with a GIS Twist" ditulis oleh Brian Higgins seorang konsultan senior di Utility & Telecommunications GIS consulting company SSP Innovations in Centennial, Colorado. 

Beliau punya kepakaran tentang GIS Profesional (GISP) selama 22 tahun (bapak budak) dalam mereka dan membangunkan sistem GIS untuk pengurusan infrastruktur perbandaran. 


2 - "Pokémon GO and GIS" ruangan perbincangan pakar-pakar GIS 


3 - "Pokemon Go and Big Data" http://dataconomy.com/pokemon-go-and-big-data/

4 - "How Spawns Work in Pokemon GO" kajian oleh pasukan penyelidik di The Silph Road yang cuba memahami GIS, GPS dan mekanisme Pokémon GO di alam nyata dengan memahami kontur geografi dan algoritma disebalik penjelmaan objek-objek AR tersebut. 

5 - "Playful Geospatial Data Acquisition by Location-based Gaming Communities" oleh Sebastian Matyas, satu makalah akademik tentang aplikasi GIS, GPS ke dalam permainan video. 

Dan yang paling menarik untuk para guru menarik perhatian generasi Y, iPad dan kini Pokémon GO:

6 - "5 WAYS TO TRICK STUDENTS INTO LEARNING WITH POKEMÓN GO" oleh NATIONAL GEOGRAPHIC!! 

Lihat saja bagaimana orang Putih menggunakan akal mereka yang cerdas menjadikan permainan yang kita anggap lagha sebagai alat bantuan mengajar.

Kesimpulan: setiap sesuatu pasti ada hikmah yang boleh dicungkil. Terpulang kepada kemampuan menaggapi taṣawwūr. Ada orang lihat gelas separuh penuh, ada orang lihat gelas separuh kosong.

Selamat mencuba 

Share this :

Previous
Next Post »