Abu Sayyaf Diasak Tentera Pilipin, Hilang Aset, Senjata Dan Ahli Kumpulan Penting.


Tentera Filipina dilapor sedang mengasak kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang menahan beberapa mangsa culik, termasuk lima rakyat Malaysia, selepas membunuh dua pemimpin kumpulan yang bersubahat dengan kumpulan itu.
Kedutaan Filipina di Malaysia yang memetik jurucakap markas tentera Mindanao Barat dalam kenyataan berkata, dua beradik, Nixon dan Brown Muktadil daripada Geng Muktadil yang bersenjata, melawan ketika cuba ditangkap dan terbunuh pagi semalam.
Anggota tentera Pasukan Petugas Bersama Sulu dibantu sukarelawan bandar Panglima Estino, melancarkan operasi terhadap dua beradik itu di Pulau Tambulian, di daerah Pata.
Nixon Muktadil, ketua Geng Muktadil, saudaranya, Brown dan beberapa yang lain, terbabit dengan beberapa kegiatan culik untuk wang tebusan, menjadikan 26 rakyat Filipina, Malaysia dan Indonesia sebagai mangsa.
"Kematian dua beradik itu memberi tamparan hebat terhadap kumpulan Abu Sayyaf kerana mereka adalah jurupandu dan pemandu arah laut ketika kumpulan itu melakukan penculikan di laut lepas," kata jurucakap berkenaan.
Menurut kenyataan itu, terdahulu, pihak berkuasa Filipina menangkap atau "meneutralkan" beberapa anggota Geng Muktadil lain.
"Seorang lagi saudara lelaki mereka, Mindas, terbunuh dalam pertempuran pihak berkuasa di Jolo, Sulu, Mei tahun lalu.
“Khadafy Muktadil ditangkap November tahun lalu, juga di Jolo, dan kini berada di penjara," kata kenyataan itu.
Polis Filipina memberi satu lagi tamparan terhadap rangkaian sokongan logistik Abu Sayyaf apabila melumpuhkan sindiket yang membekalkan senjata serta peluru berkuasa tinggi kepada kumpulan
itu dengan merampas sejumlah pelancar bom tangan M203, M14, M16 dan ribuan peluru bernilai enam juta Pesos (kira-kira RM513,000).
Ketua sindiket itu, Unding Kenneth Isa, serta tiga rakannya, ditangkap pada 24 September di San Juan City di Metro Manila.
Kenyataan itu berkata atas arahan President Duterte, sembilan batalion polis dan tentera membabitkan kira-kira 9,000 anggota dikerah menjalankan operasi keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang di tempat yang disyaki menjadi sarang persembunyian Abu Sayyaf di Sulu dan Basilan.
Sejumlah besar bot bermotor tidak berdaftar dirampas beberapa hari lalu, di Sulu dan kawasan perairan berdekatan, sekali gus mengganggu pergerakan Abu Sayyaf.
Sekatan oleh pasukan Tentera Laut Filipina juga diadakan dan hasilnya, 21 anggota anggota Abu Sayyaf menyerah diri pada 23 September di Sumisip, Basilan.
Ketua Turus Angkatan Bersenjata Jeneral Ricardo Visaya berkata, gerakan menentang keganasan dan kumpulan penculik Abu Sayyaf tiada tempoh masa ditetapkan dan akan diteruskan sehingga objektifnya tercapai. 

Sumber : Harian Metro.

Share this :

Previous
Next Post »