Ya, Memang Syarikat Bermodal RM2 Urus ECRL Dan Ini Penjelasan Menteri Tentangnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tidak ada masalah dengan Syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd yang bermodalkan RM2 untuk menandatangani projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Ia kerana, kata beliau, Kementerian Kewangan tetap berada di belakangnya.
“ECRL adalah syarikat yang diwujudkan sebagai ‘special purpose vehicle’ (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia walaupun bermodalkan RM2 tetapi kerajaan Malaysia berada di belakangnya.
“Tak timbul isu langsung siapa yang tubuh syarikat, yang penting siapa dibelakangnya,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan bagaimana syarikat yang baru ditubuhkan pada 26 September 2016 dengan bermodalkan RM2 boleh menandatangani ECRL bernilai RM 46 bilion.
Rafizi turut mempersoalkan kebiasaannya projek khususnya ‘special purpose vehicle’ yang ditubuhkan kerajaan untuk menjalankan projek infrastruktur besar negara perlu mendapat kelulusan dari Parlimen bagi mendapatkan modal.
Menurutnya, sebagai contoh semasa kerajaan Persekutuan mahu menjalankan projek keretapi laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul di parlimen untuk meluluskan dana syarikat khusus itu sebanyak RM10juta.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, tidak ada keperluan untuk membentang projek ECRL itu ke Parlimen.
Sebaliknya, jelasnya, beliau sendiri membentangkannya projek itu di dalam kabinet dan memutuskannya di dalam Majlis Ekonomi Negara.
“(Ia sudah) dibawa dalam kabinet, Majlis Ekonomi, saya bentangkan dalam kabinet. Kalau semua projek nak bentang dalam parlimen, saya rasa tak perlu lah. Tak ada keperluan nak bentang di Parlimen.
“Kita bawa dalam Majlis Ekonomi, di situ kita putuskan. Tapi persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh pembangkang kita akan putuskan di Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menjelaskan mengapa projek tersebut boleh meningkat sehingga RM9 bilion kerana pada mulanya syarikat itu merancang mahu membina laluan keretapi dari Gombak sehingga ke Tumpat yang menelan kos sebanyak RM46 bilion.
Namun, kerajaan telah memutuskan untuk menyambung laluan itu sehingga ke Pelabuhan Klang dengan kos keseluruhannya meningkat kepada RM55 bilion.
“Laluan daripada Gombak ke Port Klang belum diputuskan tetapi mengikut kajian menunjukkan laluan itu lebih kurang 88 kilometer.
“Maka kosnya agar besar kerana pengambil alihan tanah dan sebagainya, maka kosnya lebih kurang RM9 billion. Jadi, RM46 bilion di campur dengan RM9 bilion, jumlahnya adalah RM55 bilion,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China membuahkan hasil dengan syarikat Malaysia dan China telah memeterai lebih 10 perjanjian.
Bidang-bidang perniagaan terbabit ialah pelaburan dalam pembinaan pelabuhan, pemasangan paip gas dan kilang penyahgaraman air, e-dagang, pengilangan panel solar serta pembinaan.
ECRL merupakan pelaburan tunggal terbesar China di Malaysia.
Syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd difahamkan dikuasai oleh beberapa individu di Kementerian Kewangan. - Malaysiakini

Share this :

Previous
Next Post »