t>

Breaking News

Kerana Curi 4 Helai Tshirt Berharga RM196, Bapa 3 Anak Ini Dihukum Penjara 2 Bulan.

Seorang pengutip besi buruk dihukum penjara 2 bulan dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mencuri 4 helai kemeja di sebuah pusat beli-belah, Ahad lalu. 


Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhi hukuman itu terhadap Ghaz Haswanddy Ghazali, 36, selepas dia mengaku bersalah mencuri kemeja bernilai RM196 di Aeon Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail, pada 5 petang, 25 Disember lalu. 

Bapa 3 anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. 

Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara 4 hari jika gagal membayar denda. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal kerana kekerapan kes mencuri tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi hukuman ringan. 

Di mahkamah sama, penganggur Hamdan Omar, 51, dipenjara sebulan kerana mencuri dompet berharga RM32.90 milik Mydin Mohamed Holding Berhad di Mydin Sinar Kota, Jalan Silang pada 10.20 pagi 16 Disember lalu. 

Dia juga dipenjara 14 hari kerana gagal mengemukakan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri sementara kepada anggota polis yang melakukan pemeriksaan terhadapnya pada tarikh, masa dan tempat sama. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Disember lalu, lapor Free Malaysia Today.