Selepas TMJ Kantoikan Annuar Musa, UniKL, MARA Diarah Hentikan Tajaan Selain Pendidikan Kata Menteri.

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diarah menangguhkan sebarang bentuk penajaan tahun ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Beliau berkata hanya tajaan berkaitan pendidikan dibenarkan, manakala sebarang penajaan lain perlu diteliti terlebih dahulu.

“Saya akan dapatkan laporan lebih terperinci dari UniKL dan Mara. Seperti saya kata saya tak dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Apa-apapun saya akan dapatkan laporan. Cuma untuk sementara waktu ini, sebarang penajaan mesti tunggu dulu. Biar saya tengok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya isu penajaan pasukan The Red Warriors (TRW) yang mana bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan beliau telah menggunakan kedudukannya untuk memastikan Mara dan UniKL menaja pasukan itu.

Annuar berkata Mara tidak pernah menaja TRW, selain tiada bayaran dikenakan untuk logo ‘Mara 50th’ yang dipamerkan pada bahagian lengan jersi pasukan itu musim lalu.

Terdahulu, Ismail Sabri menyerahkan surat tawaran tingkatan satu untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara kepada Aliyah Maisara Md Akir yang juga anak pasangan suami isteri yang cacat penglihatan, di Projek Perumahan Rakyat Jelatek, di sini. – Bernama

Share this :

Previous
Next Post »