t>

Breaking News

Buku Fattah Amin Kini Di Carta Best Seller MPH.


Semakin dikutuk, semakin laris! Itulah kesimpulan yang boleh dibuat terhadap buku 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin  yang dihasilkan aktor itu sehingga ia menjadi tular di media sosial sejak minggu lalu.

Fattah berkata, pembelian yang dibuat orang ramai secara dalam talian meningkat secara mendadak selain pihak pengedar buku iaitu MPH Book Store turut memohon tempahan kedua sejak ia dilancarkan pada 12 Februari lalu.


 
"Untuk cetakan pertama pihak penerbit mengeluarkan 5,000 salinan dan Alhamdulillah setakat ini jualan sangat memberangsangkan walaupun ia dikritik hebat.

"Malah pihak MPH Book Store juga membuat tempahan baru buku itu kerana mendapat permintaan tinggi selain ia diletakkan di carta 'best seller'," katanya.


Pada minggu lalu nama Fattah menjadi panas apabila netizen mengecam kandungan buku pertamanya itu selain mempersoalkan kredibiliti dia sebagai penulis buku.

Salah satu petikan daripada buku tersebut yang berbunyi: "Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC nak bawak kereta aku sendiri dan parking Valet. Ternyata kini telah termakbul hahh.... kelakar kan" telah dipersendakan sehingga menjadi tular di laman sosial.

Perkataan 'kelakar kan' turut menjadi kata-kata yang digunakan oleh netizen bagi menggambarkan sesuatu merujuk kepada tulisan buku tersebut.

 
Selain MPH Book Store, 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin  boleh dibeli di kafe milik Fattah iaitu Stalkerscafe selain tempahan secara dalam talian dapat dilakukan menerusi www.ideakreatif.com.

Dalam pada itu, Fattah berkata, dia sentiasa berfikiran positif terhadap kritikan yang dilemparkan terhadapnya berhubung isu penghasilan buku itu.

Kata Fattah, ia adalah perkara biasa dan tidak sama sekali melemahkan semangatnya.

"Pada saya... dalam perniagaan biasalah pasti akan ada yang tidak suka dengan produk dihasilkan dan sebaliknya.

"Alhamdulillah jumlah yang memberi maklum balas positif lebih banyak daripada yang mengkritik saya," ujarnya.

Mengulas mengenai kekeliruan berhubung harga sebenar buku itu, Fattah berkata ia dijual pada harga RM50 senaskhah sekiranya dibeli di kedai dan bagi pembelian secara dalam talian pula dikenakan sebanyak RM58 termasuk harga pos.

Bagaimanapun katanya, untuk pembeli di Sabah dan Sarawak pula buku itu dijual pada harga RM53 jika dibeli di kedai manakala secara pos pula dikenakan sebanyak RM65.

"Selain mendapat buku, turut disertakan ialah cakera padat single saya iaitu Wanita Terakhir dalam dua versi iaitu original dan akustik," katanya.


Sumber : MSTAR.