Maaf Netizens Saya Hanya Bergurau, Nama Anak Saya Bukan Naruto Kata Bapa.

Penyampai radio Shah Sulaiman tidak menyangka tindakannya bergurau menamakan anak, yang lahir kelmarin, dengan watak anime Jepun, Naruto, mencetuskan kontroversi. 

Mohd Shah Rizal Sulaiman, 27, berkata nama itu sekadar main-main setelah dicabar oleh adik-beradiknya yang mengetahui dirinya pernah berniat meletakkan nama anak sama seperti itu, lapor The Malay Mail Online.


Juruhebah Kool FM berkata pada awalnya beliau menghantar gambar sijil kelahiran anak lelakinya, yang diubah nama menjadi "Muhammad Putra Naruto", kepada adik-beradiknya. 
“Saya memang meminati Naruto dan memang ada hasrat untuk letak nama itu tetapi tidak jadi sebab keluarga tidak izinkan, nama itu sendiri tiada makna. 

“Jadi apabila anak saya lahir, adik-beradik saya cakap [cabar] letaklah nama Naruto masa saya daftar, [tetapi] saya sudah ubah semula sijil kelahiran itu,” katanya. 

Namun keadaan menjadi tidak terkawal apabila Shah memuat imej sijil kelahiran olok-olok anak keduanya di media sosial sehingga mencetus rasa tidak senang hati pengguna internet. “Saya muat naik di Instagram dan Facebook, baru mereka [adik-beradik] percaya [nama Naruto] tetapi tidak sangka pula orang lain pun percaya. 

“Coretan pun main-main, tidak sangka pula orang akan percaya dan tularkan. Senang cerita, semua gurauan keluarga, [sesama] adik-beradik. Cuma apabila sudah menular, ada yang ambil serius perkara ini,” katanya. 

Meredakan kekeliruan itu, bekas peserta Raja Lawak itu tampil memohon maaf kepada peminatnya dan meminta isu tersebut tidak dibiarkan berlarutan. 

“Jadi pasal isu nama anak Naruto ini, saya mohon maaf pada semua dan janganlah panjangkan perkara ini. Saya bergurau saja. “Ada yang suruh saya tukar nama anak saya [bukan Naruto]. 

"Jangan risau, nama anak saya bukan Muhammad Putra Naruto, tapi Muhammad Putra Iyyad bin Mohd Shah Rizal,” katanya.

Share this :

Previous
Next Post »