t>

Breaking News

Bila Pemimpin Secara Tiba-Tiba Berjiwa Rakyat, Itu Tanda-Tandanya Nak PRU..

Oleh : Hadri Shah
Belum lagi PRU (walaupun ramai yang kata dah ada tanda-tandanya), sudah banyak gambar-gambar "harmoni" "berjiwa rakyat" "pemimpin turun padang" berkeliaran di media sosial seperti fesbuk.
Baguslah, sekurang-kurangnya anak muda terutamanya sudah faham akan permainan politik jijik para politikus.
Dan begitulah warna sebenar politik yang didominasi kaum elit. Bukan saja berlaku pada detik detik pilihanraya, ianya dapat dilihat di hari kebiasaan.
Itu sebenarnya senjata. Terma seperti "berjiwa rakyat" dan "turun padang" itu sebenarnya racun membunuh inti-inti akan pembebasan dari dibelenggu penguasa.
Tidak wujud sebenarnya terma "berjiwa rakyat". Ianya diada adakan kerana sikap si pengampu yang menjilat tuannya. Ianya wujud semata mata untuk mengamankan status elit penguasa. Selebihnya adalah drama mual, disajikan untuk masyarakat yang setiap hari dianiaya di setiap inci kehidupannya.
Harus kita semua ingat, si sultan akan menunjuk sisi mulianya bila menunggang motor kapcai masuk ke dalam kampung bertemu rakyat jelata. Tetapi yang kaya, yang memeras duit titik peluh yang dinamakan cukai itulah yang menyapa kita dengan motor kapcai milik entah siapa. Perdana Menteri yang katanya dipilih secara demokrasi pula dirakamkan gambar bersama isterinya duduk beramai ramai bersama penduduk kampung. Kemesraan palsu inilah modal memancing kepercayaan. Menteri Besar dengan basikalnya, berkayuh berpeluh peluh cuba menunjukkan kebersamaannya dengan rakyat yang penat bekerja. Realitinya, tidak perlu lihat betapa bangangnya dia mentadbir, dari kayuhannya saja sudah menyusahkan pengguna jalan raya lain yang dibelakang! Shahidan Kasim dengan penyapunya, Khairy Jamaludin dengan aktiviti menyusun bata. Jangan pula kita lupa, benda benda bodoh begini bukan saja diperlakukan oleh Menteri Barisan Nasional, para opposisi pun apa kurangnya. Apakah kita lupa sketsa Azmin Ali masuk ke dalam longkang? Atau kisah klasik Nik Abduh tahan teksi nak ke parlimen? Yang tak pakai tudung tiba-tiba bertudung berjalam berjumpa masyarakat di pasar malam. Yangg ak pernah nampak di masjid tiba-tiba duduk di saf paling hadapan.
Untuk apa semua gambar ini ditatap? 
Bolehkah gambar gambar begitu menyelesaikan masalah hutang isi rumah yang sudah sampai ke tahap kritikal? Bolehkah ia membereskan isu pendidikan? Bolehkah ia memberi peluang pekerjaan kepada ribuan graduan yang menganggur? Bolehkah ia meneyelesaikan jurang kaya-miskin? Bolehkah ia menukar sistem upah yang menzalimi kelas pekerja? Atau bolehkah gambar itu paling sedikit dapat menyelesaikan masalah harga barang,minyak yang dilihat semakin rancak menaik?
Ironinya gambar-gambar itu tidak dianggap serius. Hanya untuk digelak gelakkan. Ramai lagi mahu memilih dan mengangkat pemimpin baharu. Dengan harapan besar, si pemimpin baharu dapat memberi jaminan hidup yang lebih sentosa, dapat membawa kita menuju tingkat syurga paling atas.
Tidakkah kelas pekerja / masyarakat sedar yang mereka tidak lagi boleh bergantung kepada negara, ahli politik sultan dan kaum elit?
Tidakkah kita sedar, kita semua berupaya menguruskan perihal ekonomi, politik dan sosial?
Dan tidakkah kita tahu, ahli politik ini semua sama saja perangainya? Terkejar kejar kepada kuasa untuk terus memperbudakkan kita?
Jika ya jawapannya,
Mengapa masih tergedik-gedik keluar mengundi?