t>

Breaking News

Minta Maaf Segera Atau Bersedia 'Diharamkan' Kata Seniman Kepada Pelawak Singapura Yang Persendakan Najib.

Tindakan stesen televisyen Singapura menyiarkan rancangan yang dikatakan mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengundang kemarahan rakyat negara ini.
OK Chope - Mediacorp
Sehubungan itu Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah menuntut permohonan maaf daripada stesen Mediacorp 5 milik Temasek Holdings berikutan penyiaran rancangan hiburan OK Chope! di negara itu. 

"Seniman mendesak penerbit rancangan OK Chope! meminta maaf kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia di atas keceluparan ini. "Jika tidak, kami akan mengetuai usaha untuk mengharamkan artis-artis biadab berkenaan daripada terus berkarya di Malaysia. 

"Seniman juga akan mengambil beberapa langkah lain jika permohonan maaf secara bertulis dan rakaman tidak dilakukan," katanya menerusi satu laporan yang disiarkan oleh Mstar Online pada semalam.

Kenyataan itu merujuk kepada tindakan beberapa selebriti Singapura termasuk pengacara terkenal, Najip Ali yang dengan sengaja menjadikan Najib sebagai bahan jenaka ketika muncul dalam episod ke-26 rancangan hiburan tersebut. 

Menerusi rancangan itu, pesertanya diminta melengkapkan tajuk berita berkaitan Najib yang dikurangkan satu perkataan iaitu “Najib slams... for treating Malaysia progress”. 

Perkataan asal yang tertinggal pada berita itu ialah ‘fake news’. Najip Ali yang pernah menjadi hos rancangan Asia Bagus kini menjadi juri Maharaja Lawak Mega terbitan Astro. 

Tambah Hafiz, tindakan mempersendakan pemimpin sesebuah negara asing juga dianggap keterlaluan yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura. 

Jelas beliau, Seniman akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Jumaat ini berhubung isu berkenaan.