t>

Breaking News

Ini Senarai Lengkap 41 Sekolah Yang Ditunda Sesi Persekolahan Selama Seminggu.


Sebanyak 41 sekolah iaitu empat di Kelantan, 18 di Pahang dan 19 di Perak yang masih terlibat dengan banjir ditunda sesi permulaan persekolahan 2015 seminggu lagi, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Berikutan penundaan itu, tarikh baharu permulaan sesi persekolahan bagi sekolah yang terlibat di negeri Kelantan ialah pada 18 Januari (Ahad) manakala di Perak dan Pahang ialah 19 Januari (Isnin).

"Penundaan ini akan melibatkan sejumlah lima hari persekolahan iaitu 11 hingga 15 Jan bagi Kelantan dan 12 hingga 16 Jan bagi Perak dan Pahang.

"Jumlah lima hari tersebut adalah merupakan jumlah hari persekolahan yang perlu diganti oleh sekolah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Khair, sekolah berkenaan ada yang dinaiki atau ditenggelami air, digunakan sebagai pusat pemindahan sementara atau mengalami kerosakan teruk termasuk keadaan berlumpur dan kotor serta masih tidak selamat untuk dijadikan tempat belajar bagi murid.

Daripada 41 sekolah yang ditunda sesi mula persekolahannya, 34 daripadanya dinaiki air atau berlumpur tidak selamat manakala bakinya dijadikan pusat pemindahan sementara.

Khair berkata penundaan yang diumumkan hari ini adalah selaras dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis sekolah tersebut masih memerlukan masa untuk pembersihan dan pemulihan.

Menurutnya, langkah menunda sesi persekolahan sekolah berkenaan juga dibuat setelah mengambil kira faktor kemanusiaan terhadap mangsa banjir yang masih berada di sekolah yang menjadi pusat pemindahan sementara.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan sukarela, pasukan tentera, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, ibu bapa, guru-guru dan agensi-agensi kerajaan lain yang bertungkus-lumus membantu membersih serta memulihkan keadaan sekolah terlibat banjir.

"Sesungguhnya kerjasama, komitmen dan solidariti yang ditunjukkan memperkukuhkan lagi iltizam Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan lagi sistem pendidikan negara ke tahap lebih tinggi demi kemajuan anak bangsa di masa hadapan," katanya.

Berikut ialah senarai sekolah yang ditunda permulaan persekolahan:

Perak

1. SK Bandar (Perak Tengah)

2. SK Bandar Tua (Perak Tengah)

3. SK Pulau Tiga Kiri (Perak Tengah)

4. SK Tok Pelita (Perak Tengah)

5. SK Lambor Kanan (Perak Tengah)

6. SK Tanjung Bidara (Perak Tengah)

7. SK Pasir Panjang Hulu (Perak Tengah)

8. SK Pulau Juar (Perak Tengah)

9. SK Selat Pulau (Perak Tengah)

10. SK Changkat Banjar (Perak Tengah)

11. SK Pasir Kubu (Perak Tengah)

12. SK Teluk Kepayang (Perak Tengah)

13. SMK Sultan Muzaffar Shah 1 (Perak Tengah)

14. SMK Sungai Ranggam (Perak Tengah)

15. SMK Dato Maharajalela (Perak Tengah)

16. SABK Ehyak Diniah (Perak Tengah)

17. SMK Lambor Kiri (Perak Tengah)

18. SK Kayan (Manjung)

19. SJK (T) Kayan (Manjung)

Kelantan

1. SMK Dabong (Kuala Krai)

2. SK Dabong (Kuala Krai)

3. SK Kemubu (Kuala Krai)

4. SK Lela Jasa (Kuala Krai)

Pahang
1. SMK Pulau Tawar (Jerantut)

2. SK Kampung Pagi (Jerantut)

3. SK Gintong (Jerantut)

4. SMK Paloh Hinai (Pekan)

5. SMK Dato Mahmud Mat (Pekan)

6. SK Mambang (Pekan)

7. SK Langgar (Pekan)

8. SK Temai (Pekan)

9. SK Kampung Acheh (Pekan)

10. SK Pulau Rusa (Pekan)

11. SK Pulau Manis (Pekan)

12. SK Ganchong (Pekan)

13. SK Kinchir (Pekan)

14. SK Tanjung Medang (Pekan)

15. SK Sri Mualana

16. Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan (Pekan)

17. SMK Lepar (Pekan)

18. SK Ubai, Pekan (Kuantan) 


– Bernama