t>

Breaking News

Rakyat Mahu DSAI, Najib, Lim Kit Siang, Hadi & Muhyiddin Berundur - Hasil Kajian.


Satu daripada dua rakyat Malaysia yang ditanya mengenai kepimpinan masa hadapan mahukan pemimpin veteran daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) untuk berundur dan memberikan laluan kepada golongan muda dalam parti masing-masing.

Dalam satu tinjauan oleh Merdeka Center yang ditaja The Malaysian Insider mendapati, 62.6% daripada 1,008 responden bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berundur dan memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui parti.

58.3% pengundi Malaysia juga mahukan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang meletak jawatan diikuti Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak  (49.7%), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (46.6%) dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin (42.5%).

"Sentimen umum adalah kesemua mereka harus berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin muda. Hanya penyokong tegar yang mahu personaliti ini kekal," kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.


"Kebanyakan pengundi muda mahu pemimpin lebih muda kerana pemimpin veteran dikaitkan dengan pertelingkahan dan kritikan dalaman tanpa sebarang penyelesaian," katanya yang memberikan contoh perdebatan isu hudud antara PAS dan DAP.

Tinjauan itu juga menunjukkan Anwar yang reputasinya tercalar akibat sabitan dua kes liwat merupakan paling tidak popular di kalangan orang Melayu dengan 71.2% mahukan beliau berundur dibandingkan responden kaum Cina 50.3% dan India 48.1%.

Lim hanya kurang sedikit popular berbanding Anwar di kalangan responden Melayu dengan 68.7% bersetuju beliau patut berundur berbanding 45.4% responden Cina dan 35.3% responden India.

Ibrahim berkata ketika rakyat berasa simpati kepadanya, mereka berasakan pada usia 67 tahun, Anwar patut berundur dan memberi laluan kepada pemimpin muda untuk membawa PKR kepada kejayaan lebih tinggi.

“Anwar seorang tokoh yang menjadi punca pecah-belah kerana selama bertahun-tahun beliau dikritik kerana tindakannya dan diserang di dalam media selama berdekad. Disebabkan itu, ramai orang sama ada menyukainya atau membencinya,” kata Ibrahim.

“Ramai orang yang kenal dan menyokongnya ialah yang terlibat dalam demonstrasi reformasi dahulu.”

Selain itu, ramai pengundi muda pada hari ini tidak begitu mengenali Anwar, terutamanya sumbangan ketua umum PKR itu semasa berada dalam kerajaan dan mungkin tidak mempunyai kesedaran politik, kata Ibrahim.

Sementara Lim merupakan ahli politik yang berkhidmat paling lama di Malaysia. Beliau dipilih menjadi setiausaha organisasi DAP pada 1966 dan menjadi ahli Parlimen buat pertama kali pada 1969.

Kajian itu mendapati ramai rakyat Malaysia mahukan Hadi kekal berbanding Lim dan Anwar kerana ahli Parlimen Marang itu menerima lebih sokongan daripada penyokong BN.

Di kalangan penyokong PR, 52.5%, 51.3% dan 47% masing-masing mahukan Anwar, Hadi dan Lim berundur.

Sementara itu, lebih daripada separuh penyokong BN mahu Najib (56.8%) dan Muhyiddin (59.2%) untuk kekal berkuasa.

"Di dalam BN, kesetiaan kukuh kepada pucuk pimpinan kerana mereka menerima habuan. Sebaliknya, pemimpin PR tidak mampu memberi lebih kepada penyokongnya," kata Ibrahim.

"Tetapi secara keseluruhan, kita dapat melihat pengundi beralih daripada melihat personaliti kepada penyampaian ahli politik: ekonomi dan hubungan lebih baik, memberi harapan dan tidak berasa takut."

Kajian yang dijalankan kepada 1,008 responden di kalangan pengundi itu menggunakan kaedah temu bual telefon yang berlangsung di antara 21 hingga 30 Januari 2015 berdasarkan kaedah sampel rawak berlapis merentasi etnik, jantina, umur dan kawasan Parlimen.

Semua kawasan yang ditinjau dan pemilihan responden dilakukan secara berkadar mengikut populasi sesuatu kawasan Parlimen itu. -TMI.