31 Ketua UMNO Bahagian Tidak Hadir Ke Mesyuarat Tertutup Bersama Najib - Antaranya Mukhriz Dan Muhyiddin - Kenapa?
Umno memiliki 191 bahagian di seluruh Malaysia, kecuali Sarawak. Kawasan bahagian Umno selaras dengan 222 sempadan Parlimen di Malaysia, tidak termasuk 31 kawasan parlimen di Sarawak.
Kesemua ketua bahagian parti itu menjadi menteri kabinet, timbalan menteri, menteri besar atau ketua menteri, exco atau menteri negeri, Ahli Parlimen atau Adun, atau paling kurang, pengerusi agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri dan timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga naib presiden – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein – juga adalah Ketua Bahagian.
Maka, setiap ketua bahagian adalah “kingmaker”. Apabila mereka mempunyai bilangan yang cukup dan bersepakat, mereka boleh menaikkan, mempercepat atau menamatkan kerjaya mana-mana pemimpin.
Pada Ahad lalu, 160 “panglima” ini hadir untuk bertemu Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Sebuah laman berita melaporkan, tiada apa-apa yang mengejutkan berlaku ketika pertemuan tertutup itu, sementara akhbar arus perdana pro-Umno melaungkan “semua ketua bahagian Umno menyokong Najib”.
Seorang menteri kabinet yang bercakap bagi pihak yang hadir memaklumkan, semua ketua-ketua bahagian “berpuas hari dan gembira” dengan apa yang Najib katakan kepada mereka.
Selain itu, beliau juga menambah bahawa tiada seorang pun ketua bahagian yang bangun mempersoalkan Najib, sebaliknya semua “menerima” penjelasan yang diberikannya selama hampir 90 minit itu.
“Semua” ketua bahagian? “Kesemuanya”? Bagaimana dengan baki 31 panglima yang tidak hadir menyatakan sokongan mereka?
Menteri Kabinet yang menjadi jurucakap itu bersusah-payah menjelaskan bahawa pertemuan seumpama itu “bukanlah di luar kebiasaan”.
Beliau mendakwa, ketua bahagian bersetuju untuk bertemu Najib sekurang-kurangnya dua kali setahun, dan pertemuan di PWTC itu adalah usaha ke arah itu. Ia adalah yang pertama untuk 2015, dan pertemuan kedua dijangka akan dibuat pada separuh kedua tahun ini.
Maka, persoalan jelas yang perlu ditanya adalah – mengapa 31 ketua bahagian tidak hadir?
Jika pertemuan itu memang sudah dijadualkan, mengapa ia tiada dalam diari mereka? Atau memang sudah ada, tetapi mereka memutuskan untuk ponteng?
Apa yang membuatkan 31 orang ini menonjol adalah tokoh-tokoh di kalangan mereka.
Paling menonjol adalah Muhyiddin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang tidak kelihatan.
Menteri merangkap jurucakap itu memandang ringan perkara itu, dengan mengatakan mereka mempunyai komitmen lain.
Ya lah tu! Pertemuan itu bukannya diatur pada saat-saat akhir. Apatah lagi dengan 160 yang hadir lengkap memakai jaket merah khas yang pastinya mengambil masa untuk ditempah.
Jadi, apakah hanya kebetulan apabila yang tidak hadir adalah Muhyiddin dan Mukhriz, tokoh yang berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri?
Tun Dr Mahathir Mohamad pastinya senang apabila melihat seorang daripada tiga naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal juga tiada di sana.
Malah, kebanyakan ketua bahagian dari Sabah juga tidak hadir. Mereka kononnya menghadiri “retreat” latihan pada hari tersebut.
‘”Retreat” latihan? Retreat (berundur) sahaja adalah lebih tepat. Bukankah salah seorang daripada mereka hadir, iaitu Datuk Bung Mokhtar Radin hadir? Apa terjadi kepada mereka yang lain?
Najib Razak, berhati-hati dengan Ides of March*.
*Hari di mana Julius Ceasar mati dibunuh, dan menandakan perubahan dalam sejarah Roman, di mana Republik Rom menjadi Empayar Rom. Ides of March biasanya merujuk perubahan kepimpinan dalam dunia politik. -AntDaily.