Kantoi Lagi - 1MDB Edar Penyata Kewangan Palsu Dedah Sarawak Report.


Syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa memberikan penyata bank palsu berkaitan akaun anak syarikatnya kepada cawangan Bank BSI di Singapura, dedah Sarawak Report hari ini.

Menurut laman sesawang pemberi maklumat itu, bukti menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB ‎mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.

"Dokumen dibekalkan kepada pelbagai pihak berkuasa oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda bagi menunjukkan penyata akaun Brazen Sky pada November 2014‎.

"Namun bank swasta Switzerland memberitahu pihak berkuasa Singapura yang dokumen itu bukan berasal daripada mereka dan tidak menunjukkan dokumen sah ‎mengenai aset anak syarikat 1MDB," lapor Sarawak Report. Menurut portal itu, maklumat mengenai penyata bank kemudian dilaporkan semula ke Malaysia pada 13 Mac lalu, dua hari selepas perdana menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak mengemukakan jawapan bertulis mengesahkan baki AS$1.103 bilion sudah ditebus kembali daripada dana Brazen Sky ‎di Pulau Cayman dan kini "disimpan" di Bank BSI Berhad di Singapura.

Sarawak Report berkata, maklumat lain yang diperoleh daripada sumber di Singapura mendakwa tiada wang tunai sebenar dalam akaun Brazen Sky Limited.

Katanya, berdasarkan sumber, akaun itu semata-mata mengandungi "aset atas kertas" dan "nilai sebenar yang tidak boleh ditentukan". Laporan itu menyatakan aliran wang 1MDB semakin berbelit dan mengelirukan selama bertahun-tahun ‎membuat pelaburan dalam pelbagai akaun selepas membatalkan kerjasama pertamanya dengan syarikat Petrosaudi International pada 2009.

Sarawak Report juga mendakwa melihat bukti Arul Kanda secara senyap menyerahkan laporan 1MDB kepada pihak berkuasa yang berkaitan, selepas timbulnya dakwaan mengenai akaun di Bank BSI‎ di Singapura. Katanya, ada bukti menunjukkan Arul menyerahkan salinan penyata bank termasuk penyata semasa November 2014‎ Brazen Sky Limited di Bank BSI.

"Bagaimanapun BSI memberitahu pihak berkuasa Singapura bahawa dokumen itu adalah palsu dan bukannya berasal daripada bank itu sendiri. "Ini perkembangan dahsyat, melemahkan kedudukan 1MDB berkaitan kehilangan berbilion ringgit daripada akaunnya, dan situasi sekarang melibatkan pemeriksaan mengikut undang-undang dan peraturan.

"Sekarang sudah enam minggu selepas Ketua Audit Negara diarahkan perdana menteri menyiasat akaun tetapi masih tidak ada perkembangan hasil," katanya. Sarawak Report juga mendakwa, pihaknya difahamkan melalui beberapa sumber yang syarikat utama dan pelanggan korporat BSI adalah ahli perniagaan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low.

Low dikatakan individu di sebalik beberapa pelaburan yang dibuat 1MDB, termasuk urus niaga pemindahan AS$700 Petrosaudi ‎ke dalam akaun yang dikendalikannya dengan nama Good Star Limited di RBS Coutts di Zurich. "Petrosaudi pada mulanya mendekati BSI yang berpusat di Geneva di‎ ketika cuba membuka akaun Swiss untuk Good Star pada 2009, untuk menempatkan sejumlah AS$700 juta yang dibawa keluar hasil perjanjian kerjasama.

"Sarawak Report mendesak pihak berkuasa Australia menyiasat peranan Bank BSI berkaitan 1MDB dan urusan perniagaannya dengan pelanggan utamanya iaitu Low," katanya. – TMI

Share this :

Previous
Next Post »