t>

Breaking News

150 Pelajar Mesir Minta Bantuan RM4.5j Kerajaan Tak Layan Tapi Ada Duit 650j Utk Projek Tugu.


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membidas tindakan kerajaan yang masih belum meluluskan segera biasiswa atau pinjaman kepada pelajar Malaysia di Mesir, tetapi bermegah membina Taman Tugu dengan kos RM650 juta.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata kerajaan nampaknya lebih mementingkan untuk membina infrastruktur daripada memberi biasiswa kepada pelajar Malaysia di Mesir yang sedang dibebani hutang kos pembelajaran mereka.

Katanya, pendidikan lebih penting berbanding infrastruktur dan ia perlu didahulukan, tetapi kerajaan memilih untuk meluluskan projek jutaan ringgit seperti Tam Tugu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini. “RM4.5 juta untuk kerajaan terlalu kecil. Kerajaan lebih meluluskan projek jutaan ringgit seperti Taman Tugu. Kenapa tidak duit itu diperuntukkan untuk pendidikan. Pendidikan lebih penting daripada infrastruktur.

“Saya tidak dapat bayangkan kesedihan pelajar dan keluarga mereka yang terbabit. Saya menangis apabila mengetahui berita ini. Saya boleh rasa kerana pernah berjumpa dengan mereka (beberapa pelajar Malaysia di Mesir) beberapa kali,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Berita Harian hari ini mengenai 150 pelajar Malaysia di 8 universiti di Mesir bakal disingkirkan selepas menanggung hutang yuran sebanyak RM4.5 juta.

Menurut akhbar itu, pelajar terpaksa berdepan dengan hutang pembelajaran kerana tidak mendapat sebarang tajaan atau pembiayaan pendidikan semasa tempoh pembelajaran mereka di Mesir. Mereka yang terbabit ialah pelajar jurusan perubatan, pergigian dan farmasi yang bergantung sepenuhnya dengan keluarga untuk membayar yuran pengajian dan sara hidup mereka. Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan) kini merayu bantuan pihak Malaysia tampil meringankan beban kumpulan pelajar terbabit demi masa depan mereka dan negara.

Kerajaan sebelum ini meluluskan cadangan pembinaan projek Taman Tugu, terletak di tanah seluas 26.7 hektar berhampiran Tugu Negara dengan matlamat mengangkat taraf Kuala Lumpur menjadi kota raya bertaraf dunia. Khazanah Nasional Berhad akan membiayai 75% (RM500,000) kos projek itu.

Ibrahim berkata kerajaan perlu bertindak segera menyelesaikan masalah ditanggung pelajar di Mesir berkenaan. “Ini tragedi yang menyayat hati, ibarat kata seperti gempa bumi kepada keluarga. Jika pelajar perubatan itu masih ada baki pengajian dan dibuang, tentunya merugikan mereka. Bukan saja pelajar, bahkan negara,” katanya. - FMT