Mangsa simbahan asid hilang penglihatan.
Seremban – Seorang ibu muda terpaksa menerima hakikat bahawa dia mengalami kecacatan kekal akibat menjadi mangsa simbahan asid oleh lelaki tidak dikenali, Mac lalu.
Zuhaina Tengkis, 27, ibu kepada dua orang anak yang tinggal di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini terpaksa menanggung keperitan sepanjang hayatnya apabila seluruh wajah dan sebahagian dadanya melecur.
Lebih memilukan, Zuhaina hilang penglihatan apabila kedua-dua matanya buta akibat kejadian itu.
Menceritakan detik kejadian, Zuhaina berkata, kejadian berlaku pertengahan bulan Mac lalu, bagaimanapun dia tidak ingat tarikh kejadian.
“Pada malam kejadian, saya bersama adik saudara keluar rumah menaiki motosikal untuk bertemu dengan seorang rakan di sebuah kedai makan di pekan Mantin.
“Kira-kira 9.30 malam, saya bersama adik saudara menunggang motosikal bergerak pulang ke rumah selepas bertemu kawan,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di satu kawasan berhampiran Lapang Sasar Mantin di sini, kelihatan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berusia lingkungan 20-an ingin memotong motosikal mereka.
“Semasa motosikal itu menghampiri motosikal kami, terdengar seorang suspek menyebut ‘hai’. Saya segera menoleh ke arah mereka sebelum seorang daripada mereka menyimbah air tepat kepada wajah saya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini, semalam.
Zuhaina berkata, simbahan air yang dipercayai asid itu turut terkena pada bahagian belakang badan adik saudaranya itu.
“Dalam keadaan kesakitan, kami terus pulang rumah dan suami segera membasuh wajah saya sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.
“Saya mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua bulan dan dibenarkan pulang ke rumah, 27 Mei lalu,” katanya.
Menurutnya, doktor memberitahu kedua-dua matanya tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan teruk akibat simbahan asid.
“Sehingga kini, saya tidak dapat tidur kerana kelopak mata saya tidak boleh tutup. Sakit di muka dan dada masih terasa sehingga kini,” katanya.
Menurutnya, nasib menimpanya juga menyebabkan perasaannya adakala terganggu sehingga menitiskan air mata, lebih-lebih lagi tidak dapat melihat anak-anaknya membesar.
“Saya tidak berdendam dengan orang, saya tidak pernah dengki dengan orang tetapi kenapa orang buat saya begini,” katanya.
Sementara itu, suami, Nor Azman Jani, 30, berkata, sehingga kini dua lelaki tidak bertanggungjawab itu gagal dikesan pihak berkuasa.
“Polis turut memaklumkan kes tersebut kemungkinan berkaitan dengan kes simbahan asid di Kuala Lumpur,” katanya.
Nor Azman yang bekerja sebagai penoreh getah bagaimanapun bersyukur isterinya masih selamat.
“Meskipun keadaan isteri saya seperti ini, saya tetap menyayangi dia.
“Cuma saya sentiasa berharap masih ada peluang untuk isteri saya melihat semula,” katanya.
Dalam pada itu, nasib menimpa Zuhaina mendapat perhatian Pengerusi MCA negeri, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam yang melawat mangsa serta menghulurkan sumbangan, semalam.
Chai Thiam berkata, dia akan memastikan mangsa mendapat bantuan sewajarnya dari segi kewangan serta kos rawatan.
“Saya akan memanjangkan masalah ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mangsa mendapat bantuan bulanan berikutan pendapatan suami bawah RM500 sebulan,” katanya. -SH
Sehingga sekarang penjenayah simbah asid gagal ditangkap oleh pihak polis. Selagi mereka tidak ditangkap selagi itu kaum perempuan berada dalam keadaan yang bahaya..
Tiada ulasan
Catat Ulasan