Pengendali Laman Jiwang.Org Ditahan Pihak Berkuasa.
PUTRAJAYA 18 Jun - Pengusaha laman web
popular muat turun dan muat naik muzik secara haram, www.jiwang.org
(JWG), yang mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sejak tahun 1997,
akhirnya ditahan pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kelantan.
Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan
Mahayudin berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas sepasukan
penguat kuasa menyerbu kediamannya di Kubang Kerian pada 11 Jun lepas.
"Laman web yang menawarkan perkhidmatan muat turun dan muat naik
lagu-lagu Melayu telah mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit
berdasarkan servis iklan dan sumbangan daripada mereka yang menjadi ahli
laman web JWG.
"Lelaki itu mengaku pernah memperoleh pendapatan lumayan, iaitu mencecah
RM10,000 sebulan pada tahun 2006, tetapi pendapatannya merosot kepada
RM1,500 sebulan sekarang setelah muncul pesaing yang menggunakan modus
operandi yang sama dengan JWG," katanya pada sidang akhbar di sini hari
ini.
Hadir sama Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abd. Rahman dan Ketua Pegawai
Eksekutif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Tan Ngiap Foo.
Roslan berkata, pasukan penguat kuasa juga merampas peralatan ICT
bernilai RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hakcipta
1987 yang membawa hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000
atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit
kesalahan.
Beliau berkata, Bahagian Penguat Kuasa akan mengeluarkan notis halangan
kepada SKMM bagi menghalang akses laman web JWG seperti yang diperuntuk
mengikut Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Sementara itu, Ngiap Foo berkata, industri muzik menanggung kerugian
kira-kira RM10 juta dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berikutan
laman web yang menawarkan muat naik dan muat turun lagu di negara ini.
"Saya berterima kasih kepada KPDNKK yang membuat serbuan sebegini. RIM
akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengusaha laman web JWG bagi
menuntut ganti rugi yang ditanggung industri muzik," katanya.
Beliau juga berkata, RIM telah mengenal pasti laman web yang menawarkan
perkhidmatan serupa kepada pengguna bukan sahaja dari Malaysia malah
Indonesia dan Brunei.
Dalam perkembangan berkaitan, Roslan berkata, KPDNKK sedang menyiasat
sekurang-kurangnya 32 laman web yang menawarkan muat turun dan muat naik
muzik serta filem percuma secara haram di negara ini.
Beliau berkata, sebanyak 30 aduan diterima berhubung laman web
dikategori sebagai 'jerung siber' yang menyumbang kepada pelanggaran hak
cipta.
"Siasatan awal mendapati laman sesawang ini beroperasi di dalam dan luar
negara. Kita akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, SKMM dan
pemilik hak cipta untuk menjejaki serta melumpuhkan jerung siber ini
agar tindakan tegas dapat diambil ke atas mereka," katanya.
Roslan turut mengingatkan semua agensi kerajaan melalui Unit Permodenan
Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Pasukan Tindak
Balas Kecemasan Keselamatan Komputer Malaysia (MyCert) supaya mengambil
langkah berjaga-jaga serangan siber ke atas laman sesawang kerajaan
selepas laman JWG dihalang akses.
"Ini adalah berdasarkan pengalaman pada tahun 2011 yang menyaksikan
beberapa laman sesawang kerajaan digodam setelah 10 laman sesawang yang
melanggar Akta Hakcipta 1987 dihalang akses," katanya.