Jangan Rosakkan Terawih Dengan Tazkirah - Mufti Perak.
Seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani. Berikut penjelasan yang diberikan oleh Mufti Perak, Harussani ;
Umat Islam yang akan menyambut Ramadan dinasihatkan supaya jangan merosakkan solat tarawih dengan menganjurkan majlis tazkirah di antara solat sunat itu kerana ia boleh mengganggu kekhusyukan jemaah.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam jangan terkeliru sehingga menganggap majlis tazkirah itu sebagai amalan wajib sehingga boleh merosakkan amalan yang sunat.
"Ada pihak yang mengatakan bahawa tazkirah lebih wajib daripada tarawih yang sunat. Tazkirah wajib pada masa-masanya; yang sunat ada masanya. Jangan kita membuang yang sunat kerana kononnya yang melaksanakan yang wajib sedangkan dalam itu kita merosakkan yang sunat dan merosakkan yang wajib," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.
Harussani diminta mengulas amalan tazkirah yang dilaksanakan oleh banyak masjid di seluruh negara pada malam-malam Ramadan dan lazimnya dilakukan di antara solat tarawih.
Dalam pada itu, Harussani turut mengingatkan umat Islam supaya berlumba-lumba untuk melakukan ibadah pada sepanjang Ramadan tetapi jangan bertelagah mengenai jumlah rakaat solat tarawih dan sebaiknya mengambil tradisi pertengahan iaitu 20 rakaat.
"Marilah kita berlumba-lumba. Kita jangan berlumba-lumba sampai 40 rakaat, jangan kita berlumba-lumba sampai 36 rakaat. Kita ambil tradisi pertengahan 20 rakaat dan jangan dirosakkan syariat tarawih ini dengan kita selangi perkara yang lain (iaitu tazkirah)," katanya.
Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/jangan-rosakkan-tarawih-dengan-tazkirah-harussani-17989?cp